Ekonomi Sabah Meningkat Kepada RM 83.2 Bilion
Sabah mencatatkan peningkatan ekonomi yang signifikan apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri meningkat daripada RM82.1 bilion pada 2023 kepada RM83.2 bilion pada 2024, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. Menurut beliau, peningkatan ini menunjukkan momentum positif pembangunan ekonomi negeri yang sejajar dengan pertumbuhan KDNK nasional sebanyak 2.5 peratus di bawah pelaksanaan Rangka Kerja Ekonomi Madani menerusi Belanjawan Nasional 2025.
“Kejayaan ini adalah hasil Kerjasama pelbagai pihak di Sabah. Jika kita terus bersatu dan menyumbang secara positif, aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) boleh dicapai sepenuhnya,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri pada 28 April 2025 di Menara Kinabalu.

Beliau menggesa semua agensi kerajaan negeri untuk memastikan pelaksanaan berkesan program dan inisiatif di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) serta pelan pembangunan SMJ.Menyentuh Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), Hajiji menjelaskan bahawa kerajaan negeri telah merangka Hala Tuju Pembangunan Strategik Negeri sebagai langkah proaktif bagi memacu pembangunan Sabah dari 2026 hingga 2030. Ia termasuk penerokaan potensi Ekonomi Biru dan agenda pembangunan berasaskan dasar dan blueprint sedia ada.
“Kita tidak boleh leka dengan kejayaan semasa. Semua pemimpin negeri dan jabatan mesti lebih proaktif, turun padang memantau pelaksanaan projek, dan memastikan kemajuan mengikut jadual,” tegasnya. Tahun ini sahaja, sejumlah 1,265 projek dan program dijadualkan dilaksanakan di seluruh Sabah, dan pemantauan rapi oleh agensi pelaksana amat diperlukan, katanya.
Sabah turut menjadi salah satu penerima peruntukan tertinggi dalam Belanjawan Persekutuan 2025, dengan RM6.7 bilion disalurkan kepada negeri itu. “Ini membuktikan suara rakyat Sabah didengari dan menunjukkan komitmen kita dalam menjayakan pembangunan negeri. Namun, kita mesti melakukan anjakan paradigma — meninggalkan pendekatan lapuk dan sikap negatif — agar kita terus ke hadapan,” kata Hajiji.
