Penglibatan Wanita Dalam Pembentukan Dasar
Pemerkasaan wanita adalah penting demi manfaat dan kesejahteraan wanita serta pembangunan masyarakat secara keseluruhan. Memperkasa wanita akan membawa kepada hasil ekonomi yang lebih baik, keluarga yang lebih sihat, dan keadilan dalam komuniti. Berikut merupakan mesej yang disampaikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor pada 5Mei 2025 ketika berucap untuk majlis angkat sumpah ahli Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) di Menara Kinabalu.

Beliau berkata, wanita yang berdaya akan menyumbang kepada peningkatan ekonomi, pembentukan keluarga sihat dan komuniti yang lebih adil. Justeru, usaha kolaboratif antara kerajaan, organisasi, dan individu amat diperlukan untuk mewujudkan persekitaran yang inklusif bagi wanita mencapai kemajuan.
Hajiji berharap barisan baharu Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) dapat memainkan peranan penting sebagai jentera kerajaan dalam mengoptimumkan penglibatan wanita dalam pelbagai aspek kehidupan serta melahirkan wanita berilmu dan berwibawa.

MPWS, yang kini dipengerusikan oleh Datuk Dr Hajah Rosmahwati Lasuki, ditubuhkan sebagai badan penasihat, penyelaras dan pengantara antara kerajaan negeri dan organisasi wanita. Ia turut berperanan melaksanakan dasar dan program berkaitan wanita di peringkat negeri, nasional dan antarabangsa.
Sebanyak tujuh jawatankuasa kecil di bawah MPWS telah diwujudkan meliputi bidang ekonomi, pendidikan, sosial, kesihatan, undang-undang, gender serta wanita dan media. Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) pula bertindak sebagai sekretariat bagi membantu pelaksanaan program-program berkenaan.
Ketua Menteri menekankan pentingnya peranan MPWS sebagai pemikir dan pemangkin dalam memperkasa wanita Sabah serta menetapkan hala tuju yang jelas dalam usaha mensejahterakan rakyat.