Pelancongan Berasaskan Komuniti Tingkatkan Kedatangan Pelancong ke Sabah

berita-sabahMay 2025news

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menegaskan bahawa Pelancongan Berasaskan Komuniti (CoBT) semakin menjadi pemacu utama kemasukan pelancong ke negeri ini, khususnya di kawasan pedalaman seperti Kiulu.

Beliau berkata, sektor pelancongan adalah antara teras utama dalam pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), dengan hasil CoBT meningkat kepada RM7 juta pada tahun 2024 daripada 18 daerah aktif, berbanding RM6.7 juta pada tahun sebelumnya.

“Saya mahu CoBT dibangunkan secara aktif kerana potensinya dalam mengembangkan dan menjana ekonomi di kawasan pedalaman Sabah”, katanya pada 6hb Mei 2025 semasa perasmian Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Tuaran Tahun 2025 di Dewan Masyarakat Kiulu.

Ketua Menteri turut menekankan kepentingan menaik taraf infrastruktur luar bandar demi menyokong pembangunan pelancongan dan pertanian serta meningkatkan kesejahteraan penduduk. Beliau juga meluluskan peruntukan RM1.1 juta untuk pelbagai projek pembangunan di DUN Kiulu.

Sebagai usaha memperkukuh pelancongan, empat persatuan CoBT Sabah termasuk Persatuan Pelancongan Kiulu menandatangani MoU dengan empat universiti dan satu badan pelancongan dari Taiwan. Kerjasama ini dijangka memperkasa komuniti pelancongan setempat melalui pemindahan ilmu.

Hajiji turut mengumumkan bahawa Persidangan Pelancongan Berasaskan Komuniti pertama akan dianjurkan oleh UNDP bersama Lembaga Pelancongan Sabah pada Jun 2025 di Kota Kinabalu.