Sabah Raih RM5.3 Bilion Royalti Kayu Balak
Sabah berjaya mengutip RM5.3 bilion royalti hasil pembalakan menerusi pelaksanaan Perjanjian Lesen Pengurusan Hutan Mampan (SFMLA) dari tahun 1999 hingga 2023, menurut Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. Inisiatif ini bukan sahaja menyumbang secara konsisten kepada pendapatan negeri dengan purata tahunan RM213 juta, malah turut mewujudkan 40,000 peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.
“Tidak dapat dinafikan bahawa masih ada pihak yang skeptikal atau mempunyai pandangan negatif terhadap aktiviti SFMLA di Sabah. Namun, janganlah kita terpengaruh dengan pandangan atau hasutan yang tidak membina dan tidak menyumbang kepada kemajuan negeri Sabah,” katanya pada 9 Mei 2025 semasa majlis Penghargaan Perhutanan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, Kota Kinabalu.
Di samping itu, Hajiji menegaskan bahawa pengurusan hutan secara lestari melalui SFMLA telah memacu pemeliharaan hutan simpan seluas 1.4 juta hektar, dengan 43 pemegang konsesi aktif, manakala sembilan lesen telah dibatalkan atas ketidakpatuhan. Sebagai penghargaan, 32 konsesi menerima Sijil Pematuhan bagi pencapaian dalam Pelan Kerja Tahunan 2024. Sabah turut menerima RM26.45 juta Dana Pemindahan Fiskal Ekologi daripada Kerajaan Persekutuan kerana menjadi antara negeri teratas mewartakan kawasan perlindungan baharu.
Beliau juga menyatakan komitmen Sabah untuk mencapai sasaran 30% Kawasan Perlindungan Sepenuhnya tahun ini. Tambahan pula, pindaan terhadap Enakmen Hutan 1968 memberikan kuasa penuh kepada kerajaan negeri untuk mengawal aktiviti perdagangan kredit karbon, sekali gus memperkukuh usaha pemuliharaan dan penguatkuasaan undang-undang hutan.
Ucapan beliau disampaikan oleh Setiausha Kerajaan Negeri, Datiuk Seri Panglima Sr Safar Untong.