Pelancaran LPBS Tingkatkan Tahap SSL Makanan Sabah
Kerajaan Negeri Sabah melancarkan semula Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS) dalam usaha meningkatkan Tahap Sara Diri (Self-Sufficiency Level atau SSL) makanan negeri kepada 30 peratus menjelang 2026 dan 60 peratus menjelang 2030. Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, pelbagai inisiatif akan dilaksanakan bagi memastikan keterjaminan makanan negeri, mengurangkan kebergantungan kepada import serta memenuhi keperluan beras rakyat Sabah.
Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan, Timbalan Ketua Menteri I / Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan menyampaikan ucapan Ketua Menteri, berkata “Ketika ini, Sabah hanya mampu menghasilkan sekitar 22.8 peratus beras tempatan, menyebabkan negeri bergantung besar kepada bekalan import untuk menampung permintaan,” semasa majlis pelancaran LPBS dan Skim Takaful Penanaman Padi (STTP) Agrobank pada 10 Mei 2025 di Dewan Terbuka Datuk Musbah Jamli, Kota Belud.
Mulai tahun 2025, LPBS akan mengambil alih semua pembangunan dan pengurusan tanaman padi daripada Jabatan Pertanian Negeri, selain berfungsi sebagai badan pengawal selia pembangunan dan pengurusan padi di Sabah. Beliau turut menggesa semua agensi kerajaan negeri memberikan kerjasama penuh kepada LPBS.
Bagi meningkatkan SSL, tumpuan akan diutamakan kepada pembangunan kawasan tanaman padi di enam daerah utama — Kota Marudu, Tuaran, Tambunan, Keningau, Papar dan Kota Belud — melibatkan keluasan 22,218.35 hektar dan seramai 16,018 penanam padi.
Selain itu, Sabah penanaman padi bukit akan difokuskan sebagai langkah memperluas kapasiti pengeluaran beras dengan anggaran 13,266 hektar dikenal pasti sesuai untuk tujuan ini, membabitkan 15,617 petani. Jika dimanfaatkan sepenuhnya, kawasan ini dianggarkan mampu menghasilkan sehingga 30,424 tan metrik padi bukit setahun. Sabah memiliki varieti padi bukit tersendiri yang semakin dikenali seperti beras Adan dari Long Pasia, serta dari Ranau, Kudat dan Pitas.
Dengan itu, beliau menggesa petani agar memanfaatkan Skim Takaful Penanaman Padi yang ditawarkan oleh Agrobank sebagai perlindungan insurans terhadap kerosakan tanaman akibat bencana alam, serangan perosak dan penyakit. Skim ini terbuka kepada warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas yang berdaftar di bawah Skim Baja Kerajaan Persekutuan dan memiliki akaun Agrobank.