Program Madani Rakyat 2025 Perkukuh Usaha Keusahawanan dan Pembangunan Luar Bandar di Sabah

berita-sabahMay 2025news
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor bersama Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Panglima Anwar Ibrahim bersama sebahagian yang hadir sempena Majlis Perasmian Penutupan Program Madani Rakyat 2025 Sabah di Dataran Majlis Perbandaran Tawau.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, Program Madani Rakyat 2025 membuka peluang luas kepada usahawan tempatan mendapatkan maklumat keusahawanan dan mempromosi produk tempatan. Program ini juga memperkukuh hubungan kerajaan dengan rakyat di kawasan luar bandar.

“Ini membuktikan bahawa Kerajaan Madani tidak pernah mengabaikan rakyat di mana sahaja mereka berada. Melalui PMR, program pembangunan tidak hanya tertumpu di kawasan tertentu, malah menyeluruh ke seluruh negeri,” katanya pada 11hb Mei 2025 semasa menyampaikan ucapan pada Majlis PMR 2025 di Dataran Majlis Perbandaran Tawau.

Majlis penutupan rasmi program tersebut telah disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Panglima Anwar Ibrahim.

Beliau mengalu-alukan sokongan berterusan KUSKOP dalam memperkasakan usahawan melalui pelbagai inisiatif seperti Projek Premis Tamu Desa, TEKUN TikTok Shop, pembiayaan RM800 juta dan pembukaan Hab PMKS. Program ehsan@KUSKOP turut disaran diperluas untuk bantu miskin tegar.

Antara inisiatif KUSKOP yang telah menunjukkan impak termasuk:

  • Projek Premis Tamu Desa
  • Usaha pendigitalan melalui TEKUN TikTok Shop
  • Pembiayaan berjumlah RM800 juta
  • Pembukaan Hab Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) oleh SME Corp

Kerajaan Negeri turut menyediakan skim seperti Syabas, BUSS, BEST dan pinjaman mikro melalui Yayasan Usaha Maju (YUM). Hajiji turut menyeru supaya perkhidmatan perbankan diperluas ke kawasan pedalaman. Tambahan itu, antara usaha yang dilaksanakan untuk membasmi kemiskinan tegar melalui program seperti Rumah Mesra SMJ, Sentuhan Kasih Rakyat Sabah, dan pengambilan pekerja miskin dan miskin tegar.

Beliau menyatakan ekonomi Sabah menunjukkan perkembangan positif selepas pandemik, dengan KDNK meningkat kepada RM84.9 bilion pada 2024. Kerajaan juga komited membasmi kemiskinan melalui program perumahan dan pengambilan pekerja miskin dalam GLC.

Mengakhiri ucapannya, Hajiji menegaskan bahawa hubungan erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat adalah faktor utama kejayaan dasar dan inisiatif pembangunan rakyat.“Kita optimis bahawa sinergi ini akan terus membawa Sabah ke arah masyarakat madani yang progresif, berilmu, berintegriti serta hidup dalam kemakmuran dan keharmonian,” katanya.