Jururawat – Pemangkin Kita dan Tulang Belakang Sistem Kesihatan
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menegaskan perlunya lebih banyak program dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan menderma darah secara sukarela.
Menurut beliau, Sabah memerlukan sekitar 110,000 hingga 120,000 unit darah setiap tahun untuk menampung keperluan pesakit, namun hanya sekitar 75,000 unit berjaya dikumpul setahun. “Keperluan harian kita ialah 300 unit darah. Kerjasama antara Kementerian Kesihatan dan sektor awam amat penting bagi menarik lebih ramai penderma tetap,” katanya semasa sambutan Hari Jururawat Peringkat Negeri 2025 dan program derma darah di Hospital Queen Elizabeth II pada 13 Mei 2025.
Dalam ucapannya, Hajiji turut mengiktiraf jasa dan pengorbanan jururawat yang disifatkan sebagai tulang belakang sistem penjagaan kesihatan negara. “Hari Jururawat bukan sekadar simbolik, tetapi satu penghargaan besar kepada para jururawat yang menjadi tunjang kepada kesejahteraan rakyat,” katanya.
Selaras dengan tema sambutan tahun ini, “Jururawat Kita, Masa Depan Kita: Prihatin Terhadap Jururawat, Mengukuhkan Ekonomi”, beliau menekankan kepentingan pelaburan dalam latihan, kebajikan dan pembangunan kerjaya jururawat sebagai kunci kelestarian sistem kesihatan.
Ketua Menteri turut mengenang sumbangan luar biasa para jururawat semasa pandemik COVID-19, termasuk sanggup berpisah dengan keluarga demi tanggungjawab terhadap pesakit dan masyarakat. “Mereka adalah wira yang tidak didendangkan, yang tetap tabah berkhidmat dalam pelbagai situasi mencabar – di wad, klinik luar bandar, mahupun di kawasan bencana,” ujarnya.
Hajiji berharap jururawat di Sabah akan terus komited dalam meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan dan menyeru seluruh masyarakat untuk menyokong usaha murni menderma darah demi kesejahteraan bersama.
Ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri III/Menteri Kerja Raya, Datuk Ir Shahelmey Yahya.