Majlis Penasihat Buruh Sabah Lindungi Hak pekerja Sabah

berita-sabahMay 2025news

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mengumumkan penubuhan Majlis Penasihat Buruh Sabah (Sabah Labour Advisory Council – SLAC) yang akan berperanan penting dalam melindungi hak pekerja serta mengukuhkan hubungan tiga hala antara kerajaan, majikan dan pekerja di negeri ini.

Menurut Hajiji, SLAC bakal menjadi platform strategik bagi semua pihak berkepentingan berkongsi pandangan dan memberi cadangan berhubung isu-isu perburuhan agar dasar dan perundangan buruh lebih selari dengan keperluan perindustrian Sabah.

“Penubuhan SLAC akan memastikan kebajikan pekerja terus terpelihara, sambil membantu majikan menjalankan perniagaan secara lebih tersusun,” katanya pada 13hb Mei 2025 semasa Majlis Pelantikan Ahli Tetap SLAC dan Mesyuarat Pertama di Shangri-La Tanjung Aru.

Sebanyak 48 ahli dilantik ke dalam SLAC, masing-masing mewakili kerajaan (16), persatuan majikan (16) dan kesatuan pekerja (16). Hajiji menegaskan keputusan mesyuarat akan diangkat kepada Kerajaan Negeri dan Persekutuan untuk tindakan susulan. SLAC turut mengadaptasi prinsip Konvensyen Standard Buruh Antarabangsa No.144 mengenai perundingan tiga pihak dan menjadi sebahagian daripada Agenda Pekerjaan Bermaruah Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

Ketua Menteri berkata, penubuhan SLAC juga selari dengan usaha memperkukuh pelaksanaan pindaan Ordinan Buruh Sabah 2025. Dalam masa yang sama, beliau menyambut baik keputusan Kerajaan Persekutuan menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700.

Antara isu buruh yang akan diberi penekanan termasuk pembasmian buruh paksa, diskriminasi dan gangguan seksual di tempat kerja, perlindungan wanita dan kanak-kanak, serta pengurusan pekerja bukan pemastautin. Turut ditekankan ialah aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan, perlindungan sosial melalui KWSP dan PERKESO, pembangunan kemahiran serta kebebasan berpersatuan.

“Undang-undang buruh bukan satu tekanan terhadap majikan, tetapi mekanisme untuk memastikan keharmonian dan produktiviti pekerjaan. Apabila pekerja dilindungi dan dihargai, ekonomi negeri juga akan berkembang pesat,” katanya.

Ucapan Ketua Menteri itu disampaikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Ariffin Arif.