Sawit Kinabalu Bentang Pelan Antirasuah
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyambut baik inisiatif Kumpulan Sawit Kinabalu dalam melancarkan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) 2025-2029, yang disifatkan sebagai langkah strategik memperkukuh integriti dan tadbir urus yang baik di semua peringkat organisasi.
Menurut beliau, pendekatan seperti ini wajar dicontohi oleh semua jabatan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam usaha memperkasakan nilai integriti dan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap institusi kerajaan.

“OACP bukan sekadar memenuhi kehendak dasar semata-mata, tetapi harus dijadikan norma dalam budaya kerja semua GLC dan agensi kerajaan untuk mewujudkan pentadbiran yang cekap, berwibawa dan bebas rasuah,” katanya.
Hajiji, yang juga Pengerusi Sawit Kinabalu, berkata demikian selepas menerima OACP Kumpulan Sawit Kinabalu daripada Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Victor Ationg dalam satu majlis ringkas yang diadakan di Menara Kinabalu pada 15 Mei 2025.