RM162.42 Juta Diperuntuk Perkukuh Program Sosial di Sabah
Kerajaan Negeri sentiasa memberi keutamaan dalam pembangunan rakyat sosial rakyat Sabah. Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menegaskan bahawa kesejahteraan rakyat kekal menjadi agenda utama pentadbiran negeri. Katanya, peruntukan sebanyak RM162.42 juta pada tahun 2025 kepada Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah untuk melaksanakan pelbagai program sosial yang memberi manfaat langsung kepada rakyat ketika merasmikan Program Kembara Kasih Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) 2025 dan Perasmian Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) Mobile Sabah di Tuaran pada 16 Mei 2025.
Berikut merupakan peruntukan yang telah disalurkan:
- RM76.29 juta tahun 2025 bagi membantu golongan Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas, ibu tunggal, kanak-kanak serta anak yatim melalui pelbagai skim bantuan yang disasarkan secara khusus;
- RM956,000 turut diperuntukkan untuk program-program kesejahteraan rakyat yang meliputi aspek kekeluargaan, kepenggunaan, pembangunan wanita dan gaya hidup sihat;
- RM550,000 diperuntukkan kepada Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Sabah dalam usaha membendung penyalahgunaan dadah khususnya dalam kalangan pelajar sekolah;
- RM300,000 Bantuan Bencana Banjir Sabah 2025 oleh Yayasan Kebajikan Negara (YKN), RM2.1 juta diperuntukkan bagi keperluan 384 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) semasa musibah banjir di seluruh negeri;
- RM330 juta Program Bantuan Kewangan Persekutuan Tahun 2025 untuk Sabah, di mana RM315 juta diagihkan kepada 45,572 penerima bantuan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Usaha ini mencerminkan perhatian serius Kerajaan Persekutuan terhadap kesejahteraan rakyat Sabah dan kesediaan untuk terus memperkukuh jaringan sosial demi rakyat,” katanya. Ketika merasmikan Program Kembara Kasih KPWKM 2025 dan Pelancaran PSSS Mobile Sabah, Hajiji menegaskan bahawa kesejahteraan rakyat kekal menjadi agenda utama pentadbiran negeri. Inisiatif PSSS Mobile dianggap respons tepat terhadap peningkatan kes kesihatan mental pasca-COVID-19.
“PSSS mobile ini diharap mampu menjangkau masyarakat luar bandar dan memberi sokongan psikososial yang amat diperlukan, termasuk untuk mereka yang terkesan dengan penceraian, penderaan, pengangguran dan beban kewangan,” katanya. Beliau turut menyeru seluruh rakyat, khususnya mereka yang berada dalam laluan Kembara Kasih KPWKM 2025, agar hadir dan memanfaatkan sepenuhnya pelbagai perkhidmatan yang disediakan sepanjang program ini.