TVET Pilihan Utama Bina Masa Depan Belia Sabah
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyeru belia Sabah menjadikan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai pilihan utama membina masa depan, bukan sekadar laluan alternatif. Beliau berkata, TVET kini memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi dan sosial negeri, sejajar dengan transformasi teknologi dan keperluan industri masa kini.
“TVET bukan sahaja memberi kemahiran praktikal, tetapi juga membuka peluang pekerjaan, menjana pertumbuhan ekonomi dan melahirkan tenaga kerja berdaya saing,” katanya pada Majlis Pelancaran Majlis TVET Sabah (MTS) di Sutera Harbour pada 19 Mei 2025.
Hajiji menegaskan, Majlis TVET Sabah akan menyelaras lebih 160 institusi latihan teknikal di seluruh negeri, sekaligus memperkukuh ekosistem latihan dan memastikan graduan bersedia menghadapi cabaran pekerjaan sebenar. Menurutnya, TVET akan menjadi pemacu utama pembangunan negeri melalui Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0, serta menyokong pelan nasional seperti Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 2030), Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030) dan National Energy Transition Roadmap (NETR).
Katanya, dalam era kecerdasan buatan dan revolusi teknologi, belia Sabah perlu menguasai kemahiran baharu agar tidak ketinggalan dalam pasaran kerja. Majlis TVET Sabah turut berperanan sebagai penyelaras dasar, pemacu latihan kemahiran, dan penghubung kepada permohonan dana pembangunan daripada Kerajaan Persekutuan, serta menyokong agenda pemerkasaan belia dan pengiktirafan kemahiran negeri.