Laluan Feri KK–Labuan Kembali Beroperasi
Perkhidmatan feri penumpang antara Kota Kinabalu dan Labuan kini kembali beroperasi selepas terhenti beberapa tahun, mengukuhkan semula jaringan pengangkutan laut serta merancakkan mobiliti dan ekonomi rentas wilayah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, pemulihan laluan ini bukan sekadar aspek logistik, tetapi lambang keprihatinan kerajaan terhadap keperluan rakyat Sabah dan Labuan. “Ia penghubung penting dalam aspek kekeluargaan, pendidikan, pelancongan dan perniagaan,” katanya pada majlis pelancarannya pada 27 Mei 2025 di Pelabuhan Kota Kinabalu. Perkhidmatan ini dihentikan sebelum ini akibat struktur jeti yang usang, penarikan subsidi minyak, serta kesan pandemik. Kini, operasi dipindah ke Pelabuhan Kota Kinabalu dan dikendalikan sepenuhnya oleh pihak pelabuhan, dengan sokongan RM1.3 juta daripada Kementerian Wilayah Persekutuan bagi penambahbaikan.

Beliau yakin laluan ini bakal merangsang pelancongan, perdagangan dan pelaburan menjelang Tahun Melawat Sabah 2026. Beliau menegaskan hubungan Sabah–Labuan bukan sekadar geografi, tetapi juga budaya dan sosial yang mendalam. Perkhidmatan ini kini melengkapkan pilihan pengangkutan sedia ada termasuk jalan darat dan udara. Ia juga menandakan usaha negeri membina sistem pengangkutan laut yang cekap dan inklusif, sejajar aspirasi pembangunan mesra rakyat dan lestari.