Esteel Pacu Ekonomi Sabah Melalui Pelaburan RM31 Bilion
Projek tiga fasa oleh Esteel Enterprise Sabah Sdn Bhd bernilai RM31 bilion dijangka membawa kesan rantaian besar kepada ekonomi Sabah, memacu teknologi hijau, inovasi, serta mencipta peluang pekerjaan meluas di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, projek ini akan meningkatkan taraf hidup rakyat, khususnya di Sipitang, selain memberi manfaat menyeluruh kepada Sabah.
“Keutamaan perlu diberikan kepada rakyat tempatan dalam pengisian pekerjaan. Pemain industri diminta melabur dalam latihan dan pembangunan tenaga kerja Sabah agar mereka bersedia memenuhi keperluan industri,” katanya semasa majlis pelancaran Fasa Pertama Projek Esteel bernilai RM6.4 bilion di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu, pada 30hb Mei 2025. Majlis tersebut dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau turut memaklumkan bahawa kadar penghunian di SOGIP dan KKIP menunjukkan peningkatan, justeru kerajaan negeri meluluskan tiga lagi taman industri baharu di Kota Belud, Beaufort dan Kudat bagi sektor Ekonomi Biru.
Menurut Hajiji, Sabah kekal sebagai negeri mesra pelabur dengan dasar proaktif untuk menarik pelaburan, menyediakan persekitaran yang stabil, telus dan kondusif bagi menyokong pertumbuhan ekonomi mampan.
