Kerajaan Komited Perkasa Sosioekonomi Luar Bandar

berita-sabahMay 2025news

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menegaskan komitmen Kerajaan Negeri untuk memperkasa pembangunan sosioekonomi luar bandar melalui pendekatan pemodenan pertanian, galakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pelancongan komuniti. Usaha ini selari dengan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) demi kesejahteraan rakyat yang inklusif.

Beliau turut menekankan keperluan membuka peluang ekonomi kepada masyarakat luar bandar bagi meningkatkan pendapatan dan mengurangkan kadar kemiskinan. Antara langkah utama yang diambil termasuk pengaktifan semula Lembaga Padi dan Beras Sabah, dengan sasaran meningkatkan kadar sara diri (SSL) beras tempatan kepada 30% pada 2026 dan 60% menjelang 2030.

Hajiji turut menyatakan keyakinan bahawa hubungan erat dengan Kerajaan Persekutuan akan mempercepat kejayaan pembangunan negeri. Beliau merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kesudian merasmikan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri 2025, yang disifatkannya sebagai lambang perpaduan rakyat Sabah merentasi kaum dan budaya.