Sabah Tuan Rumah Program Latihan Kepimpinan Belia Islam ASEAN

berita-sabahJune 2025news

Sabah bakal menjadi tuan rumah bagi Program Latihan Kepimpinan Belia Islam ASEAN yang dijadualkan berlangsung selama sembilan hari bermula 16 Ogos 2025 di Kota Kinabalu. Program ini dianjurkan bersama oleh Majlis Da’wah Islamiah Serantau Asia Tenggara dan Pasifik (RISEAP), Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA), dan Majlis NGO Islam Sabah.

Setiausaha Agung Kehormat RISEAP, Dato Haji Mohamad Marzuki Mohamad Omar telah memberi taklimat rasmi kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mengenai program tersebut pada 10 Jun 2025 di Menara Kinabalu.

Program ini bertujuan membina kompas moral dalaman yang kukuh dalam kalangan belia Islam, melengkapkan mereka dengan kemahiran komunikasi, penyelesaian konflik, dan membuat keputusan yang berkesan. Selain itu, ia juga bertujuan memupuk rasa hormat dan keterangkuman antara belia ASEAN, menggalakkan penglibatan aktif dalam pembangunan masyarakat dan dakwah, serta memperkukuh jaringan kerjasama untuk membina komuniti ASEAN yang aman, berdaya tahan dan berwawasan.