Hajiji : Parti Tempatan Mesti Dominan di Sabah
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menegaskan parti tempatan mesti dominan dalam politik Sabah dan diutamakan dalam membentuk kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17. Beliau berkata, kerajaan diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dibentuk oleh parti tempatan ketika ini perlu diteruskan dan atas sebab itu pilihan raya kali ini sangat penting kepada gabungan itu. GRS sebagai parti tempatan, amat penting kita pertahankan, selari dengan sentimen rakyat di bawah yang mahu parti tempatan sebagai peneraju utama Kerajaan, Kata Hajiji.
“Sebagai Pengerusi GRS, saya akan pastikan perkara ini," katanya pada 15hb Jun 2025 dalam ucapan perasmian Kongres Agung Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (United Sabah National Organisation atau USNO) Pusat 2025 di Kota Belud. Hajiji berkata, beliau tidak mudah untuk menyerahkan hak dan perjuangan GRS kepada mereka yang cuba melakukan sesuatu tidak baik terhadap gabungan itu. Beliau menyatakan semua pemimpin dan ahli parti komponen GRS, termasuk USNO, akan teruskan turun padang untuk menjelaskan kepada rakyat mengenai perjuangan GRS yang menekankan falsafah 'Rumah Kita, Kita Jaga' dan "Sabah First".
"Pilihan raya kali ini amat penting sekali, jangan kita tersalah pilih. Parti tempatan mesti dominan dalam politik Sabah, mesti diutamakan. Sebagai orang Sabah, kita mesti pertahan hak kita sebagai orang Sabah, kita kena satu hati. Kita mahu perjuangkan nasib rakyat kita yang masih tertinggal dan perlu pembelaan, kita mahu angkat taraf hidup mereka yang masih banyak susah. Kita mahu hebatkan pembangunan infrastruktur dan ekonomi di Sabah. Kita bagi mandat sekali lagi kepada GRS untuk memerintah Sabah.
"Kita mesti menang dalam pilihan raya untuk kita teruskan perjuangan ini, bantu rakyat dan bangunkan negeri kita," katanya. Hajiji menekankan USNO dan parti komponen dalam GRS mempunyai peranan yang sama penting dalam gabungan berkenaan. "USNO dan seluruh kepimpinan serta penyokongnya mesti mengembleng tenaga pastikan GRS menang pada pilihan raya nanti,” kata Hajiji. “USNO dan parti komponen dalam GRS amat penting sekali. Semua mempunyai peranan amat penting untuk memastikan kekuatan kita terutama menghadapi pilihan raya yang tidak lama lagi.” GRS memerlukan semua rakan melaksanakan tanggungjawab yang sama tanpa mengira sama ada parti itu besar atau kecil.