Pelancongan Terus Jadi Pemacu Ekonomi Sabah
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menegaskan bahawa sektor pelancongan kekal sebagai antara pemacu utama ekonomi negeri, menyumbang lebih 380,000 peluang pekerjaan dan kira-kira 15 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sabah pada tahun lalu.
Beliau berkata, industri pelancongan Sabah juga mencatatkan sumbangan signifikan berjumlah RM13.1 bilion kepada ekonomi negeri pada tahun 2023. “Namun, di sebalik angka ini terdapat kehidupan, keluarga dan komuniti yang bergantung kepada industri pelancongan. Kita turut menyaksikan bagaimana sektor ini memperkasa komuniti melalui pelancongan berasaskan komuniti,” katanya semasa merasmikan ASEAN Travel Exchange (ATEX 2025) pada 19hb Jun 2025.
Hajiji berkata pelancongan komuniti yang digerakkan oleh penduduk luar bandar terus berkembang di Sabah kerana potensinya yang besar dalam merangsang ekonomi desa. Pada tahun 2024, sektor ini menyumbang RM7 juta kepada hasil negeri, membabitkan 18 daerah aktif. Kerajaan Negeri turut memperkenalkan lebih banyak inisiatif pelancongan komuniti bagi memberi manfaat langsung kepada rakyat di kawasan luar bandar.
Dalam pada itu, katanya, kerajaan sedang giat melabur dalam pembangunan infrastruktur pelancongan termasuk penaiktarafan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, jalan raya ke lokasi pelancongan serta platform digital untuk pengurusan pelawat secara berkesan.
“Kita membina asas kepada ekonomi pelancongan yang berdaya tahan melalui prinsip ekonomi hijau, pendigitalan, dan memperkukuh profil Sabah sebagai tuan rumah kepada acara pelancongan antarabangsa,” katanya.Tambahnya lagi, Sabah berhasrat menjadi hab keamanan dan pembangunan yang seimbang, di mana perniagaan, alam sekitar, budaya dan masyarakat wujud secara harmoni.
Mengulas mengenai penganjuran ATEX 2025, Hajiji menyifatkannya sebagai pengiktirafan kepada Sabah bukan sekadar sebagai destinasi pelancongan, tetapi juga sebagai rakan strategik dalam membentuk masa depan pelancongan ASEAN. “ATEX 2025 adalah platform penting yang membuka peluang kerjasama, menjalin rangkaian dan berkongsi pengalaman demi pembangunan industri pelancongan rantau ini,” katanya.
Ucapan beliau telah disampaikan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Panglima Christina Liew.