Kepentingan Rakyat Terus Jadi Keutamaan Kerajaan Negeri

berita-sabahJune 2025news

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menegaskan bahawa kepentingan rakyat akan terus menjadi agenda utama kerajaan negeri dalam setiap dasar dan pelaksanaan pembangunan. Menurut beliau, penyediaan infrastruktur asas seperti bekalan air, elektrik dan jalan raya, terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman, terus diberi perhatian bagi memastikan kemajuan dan kesejahteraan rakyat Sabah sentiasa dipertingkatkan.

“Penyampaian perkhidmatan kerajaan bukan sahaja perlu pantas, tetapi juga responsif, tepat dan inklusif. Perkhidmatan awam yang cekap merupakan kehendak rakyat, malah menjadi asas kepada kejayaan pembangunan negeri,” katanya semasa Majlis Jamuan Negeri Sabah sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi ke-74 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr) Musa Haji Aman, di Dewan Bankuasi, Menara Kinabalu pada 21 Jun 2025.

Turut hadir ialah Tun Musa dan isteri, Toh Puan Datin Seri Panglima Datuk Hajah Faridah Haji Tussin, serta isteri Ketua Menteri, Datin Seri Panglima Datuk Hajah Juliah Salag.

Dalam ucapannya, Hajiji menyeru semua pegawai dan anggota perkhidmatan awam supaya menjalankan amanah dengan penuh dedikasi, integriti dan keikhlasan. Beliau turut mengingatkan bahawa rakyat adalah pelanggan utama dalam sektor awam dan setiap penjawat awam bertanggungjawab memastikan sistem penyampaian perkhidmatan adalah telus dan berprestasi tinggi.

“Kepercayaan rakyat kepada kerajaan perlu digalas dengan tanggungjawab sepenuhnya. Pentadbiran yang cekap dan amanah adalah asas kepada kejayaan agenda pembangunan negeri yang kita semua impikan,” tambahnya.

Dalam masa yang sama, beliau menegaskan komitmen kerajaan negeri dalam memperkukuh budaya integriti dan tadbir urus baik melalui kerjasama strategik bersama agensi penguat kuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Audit Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Saya percaya nilai integriti, akauntabiliti dan tadbir urus yang baik bukan sekadar prinsip, tetapi menjadi tunjang kestabilan, kemakmuran dan pembangunan holistik negeri Sabah,” katanya lagi.