Kaamatan-Gawai Kukuhkan Semangat Serumpun Sabah-Sarawak

berita-sabahJune 2025news

Perayaan Kaamatan dan Gawai bukan sekadar lambang kesyukuran atas hasil tuaian, tetapi turut menjadi platform memupuk semangat serumpun dan mengukuhkan hubungan erat antara rakyat Sabah dan Sarawak yang berkongsi jati diri Borneo. Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, hubungan akrab antara kedua-dua negeri harus dipelihara sebagai asas perpaduan dan keharmonian rakyat pelbagai kaum di Malaysia Timur.

“Sabah dan Sarawak bukan sahaja berkongsi sempadan, tetapi juga jati diri Borneo yang kaya dengan budaya, adat dan tradisi. Hubungan ini harus diperkukuh demi kemajuan dan kesejahteraan bersama,” katanya semasa berucap pada 28hb Jun 2025 di Majlis Makan Malam Gala Kaamatan-Gawai 2025 di International Technology Convention Centre (ITCC), Penampang.

Beliau berkata, sambutan Kaamatan-Gawai mencerminkan semangat muafakat dan penghargaan terhadap warisan nenek moyang, selain merapatkan hubungan masyarakat pelbagai etnik seperti Kadazandusun, Murut, Rungus, Iban, Bidayuh, Dayak dan etnik pribumi lain. Menurut Hajiji, keunikan budaya di Sabah dan Sarawak juga menjadi aset pelancongan yang berpotensi mengangkat warisan tempatan ke peringkat antarabangsa.

“Perayaan seperti ini hanya dapat diraikan kerana kita menikmati keamanan dan keharmonian. Rakyat Malaysia patut bersyukur dapat hidup dalam negara yang menekankan perpaduan dan kestabilan,” ujarnya.

Beliau turut menekankan pentingnya perpaduan kaum dan toleransi antara agama sebagai kekuatan utama negara. “Perpaduan kaum perlu dipertingkat agar generasi akan datang memahami bahawa Malaysia adalah milik semua rakyat, tanpa mengira latar belakang,” katanya.

Dalam ucapannya, Hajiji juga menyatakan sokongan terhadap hubungan kerjasama rapat Sabah dan Sarawak dalam bidang ekonomi, pendidikan, pelaburan dan pertukaran budaya, khususnya melibatkan penyertaan generasi muda. Katanya, Kerajaan Negeri komited memperkasa komuniti luar bandar, melindungi tanah adat, serta memperluaskan akses kepada pendidikan dan teknologi digital agar tiada yang tercicir daripada arus pembangunan.

“Setiap rakyat Sabah berhak mendapat peluang yang adil demi kesejahteraan bersama,” katanya. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penggiat seni, pemimpin masyarakat dan sukarelawan yang memainkan peranan penting dalam menjayakan sambutan tersebut. “Semoga Kaamatan-Gawai menyemarakkan kasih sayang, keharmonian dan menyatukan kita demi masa depan yang lebih gemilang,” katanya.

Ucapan beliau dibdisampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Seri Panglima Dr.Joachim Gunsalam.