Jangan Terpedaya Berita Tidak Sahih – Hajiji
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menggesa rakyat agar tidak mudah terpengaruh dengan berita tidak sahih yang disebarkan di media sosial, terutamanya menjelang musim pilihan raya. Beliau menegaskan, pelbagai berita palsu disebarkan dengan niat untuk mengelirukan rakyat, sekali gus menjejaskan usaha pembangunan yang sedang giat dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri.
“Jangan buat pilihan yang salah. Kerajaan yang ada sekarang telah mencapai pelbagai kejayaan termasuk perancangan strategik pembangunan Sabah, sektor pendidikan, pelancongan dan juga kerjasama dengan Petronas dalam meningkatkan hasil negeri,” katanya semasa berucap pada 29hb Jun 2025 di Majlis Penutupan Festival Budaya Lotud Batangan, Barus, Korompitut, Wokok, Dungang 1, Dungang 2 dan Pendamai (BBKWDDP) di IPGM Kent, Tuaran.
Menurut beliau, pentadbiran Kerajaan Negeri kini turut memberi tumpuan kepada kebajikan pelajar, termasuk memperkenalkan bantuan kewangan kepada pelajar Sabah di Semenanjung Malaysia serta bantuan perjalanan untuk pulang ke kampung semasa musim perayaan – satu inisiatif yang tidak pernah dilaksanakan sebelum ini. “Kerajaan mahu meringankan beban pelajar dan keluarga mereka,” katanya.

Dalam ucapannya, Hajiji turut menyentuh kemajuan pelaburan di negeri itu. Beliau memaklumkan bahawa Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sabah (SOGIP) di Sipitang kini telah penuh, manakala pelaburan baharu dari Singapura bernilai lebih RM19.5 bilion sedang dalam perancangan, dengan fasa pertama sahaja bakal menjana 8,000 peluang pekerjaan.
“Inilah aspirasi kita, untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah,” tegasnya.
Pada masa sama, beliau turut memuji inisiatif Festival Budaya Lotud BBKWDDP yang memperkukuh nilai budaya dan memperkasakan golongan belia melalui aktiviti seni dan warisan.“Kerajaan Negeri menyokong penuh usaha seperti ini dan saya berharap kaum Dusun Lotud akan terus menjadi masyarakat yang progresif dan setanding dengan komuniti lain di Sabah,” katanya.