Ketua Menteri: Biarkan Proses Undang-Undang Berjalan Tanpa Campur Tangan
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menegaskan bahawa Kerajaan Negeri menyerahkan sepenuhnya kepada proses undang-undang berkaitan pertuduhan rasuah yang dihadapi oleh dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN). Dalam satu kenyataan pada 30hb Jun 2025, beliau berkata Kerajaan Negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak akan campur tangan dalam sebarang siasatan atau tindakan undang-undang melibatkan mana-mana pemimpin kerajaan.
“Kita menghormati undang-undang, dan kita akan membiarkan proses undang-undang berjalan seperti sepatutnya,” katanya. Beliau mengulas mengenai pertuduhan rasuah yang dikenakan ke atas ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob dan ADUN Tanjung Batu, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandi, yang didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu hari ini.
Mengulas mengenai kedudukan mereka dalam kerajaan, Hajiji berkata beliau akan meneliti perkara tersebut dengan teliti selepas menerima semua maklumat dan laporan yang berkaitan. Hajiji menegaskan bahawa Kerajaan Negeri GRS kekal komited terhadap prinsip integriti dalam pentadbiran dan pengurusan kerajaan.
Terdahulu, Datuk Andi yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, serta Datuk Dr Yusof selaku Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad, dituduh menerima rasuah daripada seorang ahli perniagaan, Dato Tei Jeinn Cheing. Wang berkenaan dipercayai sebagai dorongan untuk membantu mendapatkan lesen pencarigalian mineral bagi dua syarikat milik rakan niaga Tei. Dato Tei turut didakwa di mahkamah sama atas kesalahan memberi rasuah.