Borneo.TV : Cerita Sabah di Mata Dunia

berita-sabahJuly 2025news

Gaya hidup masyarakat hari ini segalanya dipacu digital. Oleh itu, sebuah platform media digital - Borneo.TV - telah di lancar atas respons tepat kepada gaya hidup ini. Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor melancarkan Borneo.TV, platform penstriman baharu yang mengetengahkan wajah, suara dan budaya Sabah ke peringkat antarabangsa.

“Ini bukan sekadar pelancaran media digital, tetapi satu pentas untuk anak-anak Sabah berkarya dan membentuk citra negeri melalui naratif sendiri,” Hajiji berkata pada 1hb Julai 2025 ketika berucap pada Majlis Pelancaran Borneo.TV di Menara Kinabalu. “Pelancaran Borneo.TV adalah langkah tepat dalam era media penstriman Over-The-Top (OTT) yang tidak lagi bergantung kepada saluran konvensional, selain memberi peluang kepada pencipta kandungan tempatan menembusi pasaran lebih luas.

“Dunia penyiaran hari ini menuntut kreativiti, keberanian dan kepekaan terhadap kehendak penonton. Saya menyeru semua pihak-kerajaan, swasta dan masyarakat, untuk bersama menyokong usaha ini dan menggunakan ruang ini untuk mencipta, berkongsi dan menyampaikan naratif Sabah sebagaimana yang kita sendiri mahu dunia melihatnya.”

Majlis turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (Memorandum of Understanding atau MoU) antara Kerajaan Negeri dan IB Media Consultant Work Sdn Bhd, syarikat pengendali Borneo.TV yang beroperasi tanpa sebarang dana daripada kerajaan negeri. Pelaksanaan Borneo.TV adalah di bawah Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 1.0, yang menekankan pembangunan sektor ekonomi kreatif sebagai salah satu pemacu utama negeri.

Slogan Borneo.TV iaitu “Cerita Sabah di Mata Dunia” (“Sabah in the Eyes of the World”) bakal menjadi saluran utama menyampaikan kandungan sahih, dokumentari asli, seni budaya dan keindahan alam semula jadi Sabah melalui pendekatan digital yang lebih moden, fleksibel dan global. Hajiji menegaskan penggiat seni, pengaruh digital serta pemain industri kreatif tempatan agar memanfaatkan Borneo.TV sebagai pentas mengetengahkan karya asli dan suara masyarakat Sabah secara inklusif dan berwibawa.