Lebih banyak kontrak untuk syarikat OGSE Sabah pada 2025
Kerajaan Negeri Sabah, dengan kerjasama PETRONAS dan rakan industri, telah menetapkan sasaran peningkatan penyertaan kontraktor tempatan sebanyak 100 peratus dalam sektor perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) menjelang tahun 2025. Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, sasaran ini juga merangkumi pengisian jawatan bukan teknikal sepenuhnya oleh rakyat Sabah, manakala bagi jawatan teknikal pula, sekurang-kurangnya 80 peratus perlu diisi oleh warga tempatan.
“Sasaran ini mencerminkan komitmen teguh kita untuk memperkukuh penyertaan tempatan dan membina ekosistem tenaga yang berdaya tahan serta berasaskan bakat tempatan,” katanya semasa merasmikan Persidangan dan Pameran Minyak, Gas dan Tenaga Sabah (SOGCE) ke-12 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah.
Hajiji turut mendedahkan bahawa nilai kontrak OGSE yang dianugerahkan kepada syarikat Sabah melonjak daripada RM341 juta pada 2021 kepada lebih RM2 bilion pada akhir 2024.Katanya, sektor minyak dan gas kekal sebagai penyumbang utama kepada ekonomi Sabah, dengan menyumbang hampir 40 peratus kepada pengeluaran minyak negara dan sekitar 20 peratus kepada hasil gas negara.
“Namun, peranan kita tidak terhenti pada pengeluaran semata-mata. Kita mahu Sabah menjadi pusat kecemerlangan inovasi OGSE dan tenaga mampan,” katanya.Dalam usaha memperkukuh penglibatan negeri, Kerajaan Sabah menerusi SMJ Energy telah memperoleh ekuiti dalam beberapa aset utama, termasuk PSC Samarang, loji petrokimia SAMUR, serta blok pencarigalian SB403, SB409, SB306A dan SB306B.
Selain itu, Sabah Energy Corporation kini menjadi pembekal dan pengangkut gas asli domestik terbesar di Malaysia selepas mengambil alih kontrak gas darat PETRONAS di Sabah. Mengulas pelaksanaan Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) yang ditandatangani pada 2021, Hajiji berkata ia telah memberi hasil nyata menerusi penubuhan Jawatankuasa Kecil OGSE yang dipengerusikan bersama oleh Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah serta PETRONAS.
Bagi mengekalkan momentum itu, Majlis Kandungan Tempatan Sabah ditubuhkan di bawah pemantauan SMJ Energy, manakala Pasukan Petugas Bersama untuk Perkongsian Wajib pula dilaksanakan.“Langkah ini bertujuan memastikan syarikat-syarikat tempatan kita bersedia, berdaya saing dan mendapat rakan kongsi strategik yang sesuai,” katanya.
Hajiji turut menghargai usaha Majlis Perkhidmatan Minyak dan Gas Sabah (SOGSC) dan Persatuan Kontraktor Petroleum Bumiputera Sabah (PKPBS) dalam mempromosikan penyertaan OGSE Sabah serta menyokong penganjuran persidangan OGSE pada tahun depan.
Ucapan Ketua Menteri telah disampaikan oleh Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Datuk Phoong Jin Zhe.