KM: KUS pacu penyelarasan projek infrastruktur
Kerajaan Negeri terus komited dalam meningkatkan penyampaian infrastruktur menerusi pelancaran rasmi Koridor Utiliti Sabah (KUS), satu inisiatif strategik yang dijangka menjadi pemangkin utama kepada pembangunan sistematik di negeri ini. Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menekankan bahawa penubuhan KUS bukan sekadar memperkenalkan entiti baharu, tetapi mencerminkan tekad kerajaan untuk mempercepat pembangunan, menyelaras perkhidmatan utiliti, dan menarik pelaburan baharu ke Sabah.
“KUS diberi mandat untuk berfungsi sebagai Agensi Setempat (One-Stop Agency) bagi mempercepat proses permit kerja utiliti dan membangunkan pangkalan data aset utiliti negeri yang komprehensif,” katanya semasa Majlis Pelancaran KUS pada 4 Julai 2025 di Hotel Marriott, Kota Kinabalu.
Beliau menambah bahawa inisiatif ini sejajar dengan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) yang mengutamakan pertumbuhan inklusif serta penyampaian perkhidmatan yang cekap, telus dan berorientasikan masa depan. Melalui penggunaan teknologi digital dan sistem pemetaan utiliti bersepadu di bawah KUS, proses kelulusan projek dapat dipercepatkan, pengulangan kerja dapat dikurangkan, dan keselamatan di tapak dapat dipertingkatkan.
Hajiji turut menjelaskan bahawa pendekatan ini akan memberi kesan besar terhadap pelaksanaan projek kerajaan dan swasta, di samping menyokong agenda pendigitalan negeri, daya saing pelaburan serta pembangunan bandar pintar. “Ini merupakan contoh jelas sinergi antara sektor awam dan swasta yang menghasilkan penyelesaian berimpak tinggi untuk rakyat,” katanya.
Ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir.