Peruntukan RM11.6 juta Kepada Yayasan Usaha Maju (YUM)
Kerajaan Negeri Sabah terus komited memperkasakan usahawan tempatan khususnya wanita berpendapatan rendah dengan menyalurkan peruntukan sebanyak RM11.6 juta kepada Yayasan Usaha Maju (YUM) tahun ini bagi meneruskan pelaksanaan Program Kredit Mikro.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata dana berkenaan bertujuan membolehkan YUM meneruskan operasi dan menyediakan kemudahan pinjaman kepada ahlinya secara berterusan. “Melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), YUM turut menerima peruntukan geran berjumlah RM10 juta sebagai modal pusingan pinjaman, selain geran tahunan bagi menampung kos operasi,” katanya ketika berucap sempena Hari Keluarga YUM Tuaran di Sulaman pada 5hb Julai 2025.
Menurut beliau, kejayaan program itu bergantung kepada tanggungjawab peminjam dalam melunaskan hutang tepat pada masanya agar lebih ramai rakyat Sabah dapat menikmati manfaat yang sama.
“Kejayaan peminjam bukan sahaja meningkatkan pendapatan keluarga, malah membolehkan YUM memperluas bantuannya kepada lebih ramai rakyat kerana memiliki modal pusingan mencukupi,” katanya. Beliau turut menyeru ahli YUM supaya sentiasa meningkatkan kemahiran dengan menyertai kursus, bengkel dan latihan perniagaan serta mengadaptasi teknologi dan inovasi bagi memperluas pasaran produk masing-masing.
YUM ditubuhkan pada 1995 sebagai badan amanah negeri di bawah Kementerian Kewangan Sabah, menyediakan perkhidmatan kredit mikro untuk membantu isi rumah termiskin menjana pendapatan. Hajiji berkata, sehingga kini YUM telah menyalurkan lebih RM805.25 juta melalui 152,021 unit pinjaman kepada 47,389 peminjam, dengan 18,888 masih aktif. Kadar bayaran balik pinjaman juga melebihi 96 peratus, menjadikan peminjam YUM – yang kesemuanya wanita – sebagai peminjam berdisiplin.
Beliau turut mendedahkan bahawa hampir 20 peratus daripada peminjam YUM yang sebelum ini berada di bawah garis kemiskinan telah berjaya meningkatkan pendapatan mereka dan melepasi tahap tersebut.“Ini bukti keberkesanan program ini dalam meningkatkan taraf hidup rakyat. Saya ucapkan tahniah kepada semua warga kerja YUM dan peminjam yang memanfaatkan perkhidmatan ini sebaiknya,” katanya. Ketua Menteri berharap YUM akan terus mencatat kejayaan lebih cemerlang sepanjang tahun 2025.