Program Bulan Dakwah Perkukuh Nilai Islam dan Perpaduan Ummah

berita-sabahJuly 2025news

Program Bulan Dakwah yang berlangsung sepanjang bulan Muharam hingga Rabiulawal bukan sekadar acara keagamaan tahunan, sebaliknya menjadi inisiatif bersepadu untuk memperkukuh nilai Islam, mempertingkatkan amalan ibadah dan memupuk perpaduan masyarakat berbilang kaum di Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata pelaksanaan program tersebut mencerminkan pendekatan inklusif dalam menyemarakkan syiar Islam di negeri ini. “Program ini bukan sahaja mengajak umat Islam meningkatkan amal ibadah secara konsisten dan berdisiplin, malah turut menekankan nilai perpaduan, semangat kerja berpasukan dan ukhuwah dalam kalangan masyarakat,” katanya ketika merasmikan Program Bulan Dakwah 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), pada 6hb Julai 2025.

Hajiji turut menyeru supaya pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan negeri dan persekutuan, NGO Islam serta media memainkan peranan aktif dalam menjayakan program dan memperluaskan mesej dakwah. Antara pengisian menarik sepanjang program ini ialah Wacana Pemikir, Ceramah Agama, Kursus Muamalat, Bicara Wanita, Fiqh Kenegaraan, Street Dakwah dan Kembara Maulidur Rasul, yang dijangka memberi impak besar kepada pembentukan masyarakat seimbang dari segi rohani, jasmani, emosi dan intelek.

“Saya berharap pengisian sepanjang Bulan Dakwah ini mampu merangsang transformasi pemikiran dan memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap nilai-nilai Islam dalam kehidupan seharian,” katanya. Ketua Menteri turut merakamkan penghargaan kepada para ilmuwan dan penceramah yang terlibat dalam program, termasuk Timbalan Mufti Negeri Pahang, Sahibul Fadhilah Dato’ Ustaz BadliShah Alauddin, yang menyampaikan wacana menarik mengenai seni dakwah melalui karya tokoh agung negara, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya Negeri, Datuk Ir. Shahelmey Yahya.