Usaha Kerajaan Sabah Dalam Sektor Pendidikan
Kerajaan Negeri Sabah terus memperkukuh komitmen dalam memperkasakan sektor pendidikan dengan peruntukan melebihi RM1.33 bilion bagi pembangunan modal insan sejak tahun 2021. Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, pendidikan kekal menjadi teras utama dalam pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), seiring usaha kerajaan negeri untuk meningkatkan taraf hidup rakyat melalui akses kepada pendidikan berkualiti.
“Dari tahun 2021 hingga 2024, kerajaan telah menyalurkan sebanyak RM848.26 juta untuk pelbagai bantuan pendidikan seperti Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) dan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS), selain RM485 juta lagi bagi pembangunan modal insan,” katanya ketika merasmikan Majlis Apresiasi Pengurusan Sekolah (MAPenS) Peringkat Negeri Sabah Kali Ke-3 Tahun 2025 di Dewan Seri Sulaman pada 9hb Julai 2025.
- Bantuan Subsidi Tiket Penerbangan Pelajar Sabah;
- Sumbangan Mahasiswa Pendidikan Tinggi Dalam Sabah (SENTOSA);
- Bantuan Ihsan Komputer (BAIK);
- Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI).

Dalam usaha mempersiapkan tenaga kerja masa depan, Hajiji berkata kerajaan telah menubuhkan Majlis TVET Negeri Sabah (MTS) pada Mei 2025 untuk menyelaras lebih 160 institusi latihan teknikal dan vokasional di seluruh negeri. Kerajaan Negeri juga menyampaikan insentif khas berupa RM1,000 kepada 146 pelajar cemerlang STPM 2024, dan RM3,000 kepada seorang pelajar Sabah yang mencapai kejayaan di peringkat kebangsaan.
Dalam pada itu, pencapaian calon Sabah dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 menunjukkan peningkatan apabila Gred Purata Negeri (GPN) melonjak kepada 5.00 berbanding 5.09 pada tahun sebelumnya. “Pencapaian ini membuktikan keberkesanan sistem pendidikan kita, hasil kegigihan para guru serta sokongan ibu bapa,” katanya sambil menyeru para guru untuk terus komited dalam mendidik anak bangsa.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada guru-guru dan pentadbir pendidikan yang diraikan dalam majlis tersebut, termasuk penerima anugerah Tokoh Guru dan Tokoh Kepimpinan.“MAPenS ini adalah wadah penghargaan terhadap jasa pendidik. Ia bukan sekadar simbolik, tetapi pendorong untuk terus memartabatkan sistem pendidikan negeri,” katanya mengakhiri ucapan.