Ketua Menteri Hadir Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri

berita-sabahJuly 2025news
Hajiji menyerahkan buku Laporan Tahunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2024 kepada Anwar; Hajiji bersama Anwar dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menghadiri Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri Ke-146 yang diadakan di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya. Mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan membincangkan pelbagai perkara berkaitan dasar dan pembangunan negeri serta kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri.

Dalam mesyuarat itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Safar Untong turut membentangkan taklimat berkaitan Ekonomi Biru Sabah, sebagai sebahagian daripada inisiatif strategik negeri dalam sektor maritim dan kelestarian sumber laut.

Sejurus selepas mesyuarat, Ketua Menteri turut mengadakan pertemuan tertutup dengan Perdana Menteri bagi membincangkan beberapa isu penting serta perkembangan semasa di Sabah. Dalam pertemuan tersebut, Hajiji turut menyerahkan buku Laporan Tahunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2024 kepada Perdana Menteri. Buku itu menghimpunkan pelbagai pencapaian dan kejayaan inisiatif Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) sejak ia diperkenalkan pada tahun 2021.

Selain itu, pada 16 hingga 17 Julai 2025, Hajiji turut mengiringi Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-269 yang berlangsung di Istana Negara, Kuala Lumpur.