Peruntukan RM1 Bilion Untuk Pendidikan

berita-sabahJuly 2025news

Kerajaan Negeri Sabah telah menyalurkan sebanyak RM848.26 juta bagi pelbagai bentuk bantuan pendidikan sejak tahun 2021 hingga 2024, termasuk memperkenalkan 14 inisiatif baharu dengan peruntukan berjumlah RM164.14 juta yang memberi manfaat kepada 210,918 pelajar di Sabah dan Semenanjung.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, antara inisiatif utama ialah Bantuan Tunai Pendaftaran Kemasukan ke IPT (BUDI), Program Graduan Rindu Sabah (GRS-SUBFLY) dan Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Negeri (SENTOSA).

“Kerajaan Negeri akan terus komited memperkukuh pembangunan modal insan melalui pendidikan berkualiti dan saksama untuk semua anak Sabah. Ini selaras dengan agenda Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ),” katanya ketika berucap dalam Majlis Makan Malam Konvensyen Pendidikan Ke-29 dan Persidangan Agung Perwakilan Ke-3 Persatuan Guru Besar Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada 16hb Julai 2025.

Beliau turut menekankan peranan penting guru besar dalam era transformasi digital dan pendidikan abad ke-21. “Kualiti sesebuah sekolah sangat bergantung kepada kepemimpinan guru besar dalam mentadbir, membimbing warga pendidik serta memacu pembaharuan pendidikan seiring aspirasi negara,” katanya.

Menurut Hajiji, konvensyen pendidikan seperti ini membuka ruang untuk perkongsian ilmu dan pengalaman dalam kalangan pendidik, sekali gus meningkatkan kualiti kepimpinan dan pengurusan sekolah. “Marilah kita terus melahirkan insan cemerlang, gemilang dan terbilang demi masa depan Sabah,” ujarnya.

Ucapan beliau dibacakan oleh Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan, Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan.