Sabah Terus Maju dengan Asas Ekonomi Kukuh dan Pelaburan Strategik
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, Sabah kini berada di landasan kukuh dalam pembangunan ekonominya hasil perancangan lima tahun yang menyeluruh dan berfokus. “Kita ada pelbagai kekayaan– daripada galian seperti emas, tembaga, silika, kelapa sawit, koko dan pelbagai sumber tenaga seperti petroleum mentah, gas, hidroelektrik, arang batu dan banyak lagi. “Lautan kita pula memberikan hasil laut yang menjadi buruan ramai serta tenaga haba, sambil mengekalkan terumbu karang yang masih asli dan tidak tercemar,” katanya pada 19hb Julai 2025 di majlis Anugerah ASEAN International Business Review (IBR), Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, Kota Kinabalu.
Antara pencapaian utama termasuk pemeteraian Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) dengan Petronas, yang memberi Sabah pegangan strategik dalam sektor minyak dan gas seperti Samarang, Samur, dan projek ZLNG bernilai USD3.1 bilion di Sipitang.
Dalam sektor pelaburan, Sabah mencatat RM17.41 bilion sejak September 2020 daripada 73 syarikat, mewujudkan lebih 3,600 pekerjaan. Cadangan pelaburan baharu dari 2022 hingga 2024 berjumlah RM42.3 bilion dijangka membuka hampir 33,000 peluang kerja.
Projek mega Esteel Enterprise bernilai RM31 bilion yang dilancarkan baru-baru ini dijangka merangsang inovasi dan pembangunan teknologi hijau. Bagi menampung permintaan pelabur, tiga taman perindustrian baharu telah diluluskan di Kota Belud, Beaufort dan Kudat.

Sabah turut memberi fokus kepada Ekonomi Biru, dengan industri ini dijangka menjana RM3.25 bilion hasil laut setahun. Peluang turut tersedia dalam 14 komponen lain termasuk pelancongan, karbon biru dan tenaga boleh diperbaharui seperti OTEC yang dirancang mampu menjana 20,000MW tenaga hijau.
Pelan Induk Tenaga Sabah 2040 dilancarkan bagi memastikan keperluan tenaga pelabur dan rakyat dipenuhi. Sebanyak RM679.85 juta turut diperuntukkan pada 2024 bagi menangani isu bekalan air, selain pembangunan projek hidroelektrik Ulu Padas.
Dalam aspek pendidikan dan pembangunan modal insan, hampir RM1 bilion dibelanjakan dari 2021 hingga 2024. Atas pencapaian ini, Sabah dinobatkan sebagai Negeri Paling Cemerlang Malaysia 2024 oleh ASEAN International Business Review (IBR), hasil penilaian panel profesional dan data menyeluruh.
Ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Kewangan Negeri, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.