Peruntukan RM136 Juta Untuk Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS)

berita-sabahJuly 2025news

Kerajaan Negeri Sabah memperuntukkan RM136 juta bagi Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) tahun 2025, jumlah tertinggi setakat ini. Perkara itu diumumkan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor pada 20hb Julai 2025 di Majlis Penyampaian Inisiatif Bantuan Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Negeri Sabah (SENTOSA) di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Beliau berkata, peningkatan ketara daripada RM50 juta pada 2020 mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan akses pendidikan tinggi lebih inklusif, tanpa mengira latar belakang pelajar.

Sebanyak 4,170 pelajar bakal menerima tajaan BKNS tahun ini, selaras dengan dasar Sabah Maju Jaya (SMJ). Selain itu, RM77.5 juta diperuntukkan bagi melaksanakan 13 inisiatif pendidikan seperti BUDI, BAIK, GRS-SUBFLY dan SEMESTA, memberi manfaat kepada pelajar dan komuniti pendidikan.

Yayasan Sabah turut menyumbang RM67.17 juta untuk 3,234 pelajar, manakala Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) menyalurkan RM92.4 juta dalam tempoh lima tahun untuk membantu lebih 48,000 pelajar melalui dana zakat.

Sejak diperkenalkan pada 2022, Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) telah membantu lebih 10,000 pelajar dengan perbelanjaan RM15.8 juta.

Bagi 2025, inisiatif SENTOSA melibatkan peruntukan RM6 juta untuk membantu kira-kira 20,000 pelajar bumiputera Sabah. Dalam majlis tersebut, lebih 600 pelajar dari UMS dan Kolej MAHSA Sabah menerima bantuan tunai one-off sebanyak RM300 seorang.

“Saya harap para pelajar menggunakan sebaiknya segala bantuan ini demi kecemerlangan masa depan negeri dan negara,” kata Hajiji.