Biasiswa Untuk Pelajar Asasi, Matrikulasi Dan A-Level
Kerajaan Negeri Sabah mengumumkan peluasan skim Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) kepada pelajar peringkat asasi, matrikulasi dan A-Level mulai tahun 2025. Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, elaun pelajar tajaan juga akan diseragamkan, sejajar dengan komitmen berterusan kerajaan untuk memperkasa pendidikan tinggi di Sabah.
“Peruntukan BKNS meningkat daripada RM50 juta pada 2020 kepada RM136 juta pada 2025 – peningkatan sebanyak RM86 juta berbanding 2019, sekaligus mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam pelaburan modal insan,” katanya pada 21hb Julai 2025 dimajlis penyampaian Anugerah Biasiswa Kecemerlangan Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (Sabah International Convention Centre atau SICC), Kota Kinabalu.
Sepanjang 2021 hingga 2024, lebih 13,550 pelajar telah menerima manfaat daripada pelbagai inisiatif pendidikan negeri, termasuk 3,234 pelajar di bawah Yayasan Sabah yang memperuntukkan RM67.17 juta pada 2024 – meningkat hampir 149% berbanding 2020.
Sebanyak RM15.8 juta turut disalurkan melalui Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) sejak 2022, memberi manfaat kepada 10,104 pelajar. Manakala RM92.4 juta diagihkan oleh Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dalam tempoh lima tahun kepada lebih 48,000 pelajar.

Tahun ini sahaja, RM77.5 juta diperuntukkan untuk 14 inisiatif bantuan pendidikan seperti BUDI, BAIK, GRSSUBFLY dan SENTOSA, disokong pelbagai agensi seperti Yayasan Kebajikan Sabah dan Perbadanan Baitulmal Sabah.
Hajiji menyeru pelajar untuk meneroka bidang strategik seperti minyak dan gas, TVET serta kecerdasan buatan (AI) bagi melahirkan generasi berkepakaran tinggi demi masa depan negeri dan negara.