Sabah Lulus Projek Tenaga 723MW, Fokus Tenaga Bersih dan Keperluan Industri

berita-sabahJuly 2025news

Majlis Tenaga Sabah (MTS) meluluskan secara prinsip projek tenaga berkapasiti 723MW bagi memenuhi permintaan tenaga elektrik jangka sederhana negeri ini. Projek berkenaan merangkumi loji jana kuasa gas di Kimanis dan Tawau (360MW), serta projek tenaga boleh diperbaharui seperti hidro dan angin (363MW), yang diluluskan dengan syarat teknikal dan komersial.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor semasa mempengerusikan mesyuarat MTS di Menara Kinabalu pada 22hb Julai 2025 menegaskan bahawa setiap keputusan yang dibuat oleh Majlis mestilah dilakukan secara seimbang dan berhemah. Ini adalah untuk membantu meningkatkan ekonomi, keperluan industri dan kemampuan pengguna.

Beliau memaklumkan, beberapa projek “fast-track” yang diluluskan sebelum ini telah menunjukkan hasil. Antaranya, jidar simpanan tenaga meningkat daripada 10% (Januari 2023) kepada 17%, dan dijangka capai 30% hujung tahun ini.

Penambahbaikan itu turut menyumbang kepada penurunan Indeks Purata Tempoh Gangguan Sistem (SAIDI) Sabah daripada 363 minit (awal 2023) kepada hanya 162 minit dalam enam bulan pertama 2025. Hajiji turut menggesa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) diperkasa agar lebih aktif dalam pembangunan sektor tenaga negeri.