Sabah Catat Prestasi Cemerlang dalam Pelaksanaan Projek Pembangunan
Sabah tersenarai antara lima negeri teratas di Malaysia dalam pelaksanaan projek dan program pembangunan, menurut Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. Berdasarkan laporan MyProjek, sebanyak 1,271 projek sedang dilaksanakan di Sabah tahun ini, merangkumi 396 projek sambungan dan 876 projek baharu. Daripada jumlah itu, 1,171 projek fizikal bernilai RM5.584 bilion dan 100 projek bukan fizikal bernilai RM355.24 juta.
Ketua Menteri berkata pencapaian ini menunjukkan keupayaan negeri melaksanakan agenda pembangunan, namun beliau mengingatkan semua pihak agar tidak leka, sebaliknya terus mempertingkat usaha agar Sabah menjadi negeri terbaik dalam pelaksanaan projek di negara ini.
“Kejayaan ini harus menjadi pemangkin untuk kita terus menambah baik, menyegerakan dan menyempurnakan setiap projek demi manfaat rakyat Sabah,” katanya semasa mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) di Menara Kinabalu pada 24hb Julai 2025.
Beliau turut menekankan pentingnya kerjasama menyeluruh antara semua agensi dan kementerian dalam memastikan kejayaan setiap projek, bukan hanya bergantung kepada agensi utama sahaja. Kerajaan Negeri juga, katanya, terus memperkukuh tadbir urus kewangan melalui penambahbaikan prosedur, garis panduan pengurusan, serta penilaian konsesi dan perolehan, sebagai langkah menangani isu pembangunan yang berbangkit.
Hajiji turut menyeru agar pemantauan terhadap peruntukan yang disalurkan dilaksanakan dengan lebih kerap, bagi memastikan dana dibelanjakan secara optimum. Beliau turut menegaskan keperluan pembayaran kepada kontraktor dan perunding dibuat secara cepat dan teratur agar tiada gangguan atau kelewatan projek.
Dalam pada itu, beliau menegaskan komitmen Kerajaan Negeri dalam melaksanakan pelbagai inisiatif di bawah Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ), termasuk program peningkatan pendapatan dan produktiviti, khususnya bagi menangani kemiskinan dan kemiskinan tegar. “Kita mahu bukan sahaja meningkatkan pendapatan, tetapi membantu golongan sasar keluar daripada belenggu kemiskinan,” ujarnya.
Selain itu, aspek pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat turut diberi keutamaan melalui pendidikan, latihan serta penyediaan kemudahan dan infrastruktur sosial. “Masyarakat juga perlu dididik agar cakna dan menyumbang kepada kejayaan program pembangunan yang memberi manfaat kepada mereka sendiri,” tambah beliau.