Amalan ADR dalam Kontrak Berkaitan Kerajaan
Kerajaan Negeri Sabah kini giat menerapkan kerangka Penyelesaian Pertikaian Alternatif (Alternative Dispute Resolution atau ADR) dalam pelaksanaan kontrak berkaitan kerajaan, termasuk projek pembangunan dan perolehan awam.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata pendekatan ini bertujuan mengelakkan gangguan terhadap pelaksanaan kontrak akibat pertikaian, dengan mengesyorkan penggunaan klausa mediasi dan timbang tara BICAM (Borneo International Centre for Arbitration and Mediation) dalam semua kontrak kerajaan negeri.
“Pertikaian perlu ditangani secara profesional, cekap dan adil. Mediasi digalakkan sebagai langkah awal untuk mengelakkan litigasi yang panjang serta mengekalkan hubungan baik antara pihak berkepentingan,” katanya dalam ucapan yang disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir, sempena Persidangan BICAM Global ADR Horizons 2025 di Magellan Sutera Resort pada 24hb Julai 2024.
Hajiji berkata, sebagai pintu masuk ke Borneo dan terletak strategik dalam koridor ekonomi Indo-Pasifik, Sabah mempunyai potensi besar untuk menarik pelaburan serta memperkukuh aktiviti perindustrian dan pembangunan infrastruktur. Namun, beliau turut mengakui bahawa pertumbuhan ini akan mewujudkan kontrak yang lebih kompleks dan berisiko tinggi kepada pertikaian. Justeru, ADR merupakan mekanisme penting dalam memastikan kelangsungan pelaksanaan kontrak serta menyokong ekosistem ekonomi yang kondusif.
“Sabah berbangga menjadi sebahagian daripada evolusi global ADR menerusi BICAM, yang menyediakan platform neutral bertaraf antarabangsa dan selaras dengan piawaian global serta realiti ekonomi serantau,” katanya. Beliau juga menekankan bahawa BICAM mencerminkan komitmen Sabah dalam menegakkan kedaulatan undang-undang, menghormati kontrak, dan menyelesaikan pertikaian secara konstruktif serta efisien.
Persidangan ini dilihat sebagai usaha penting dalam membina kepercayaan, memodenkan penyelesaian konflik dan menetapkan hala tuju baharu dalam mengurus perbezaan antara pihak.“Kerajaan Negeri kekal komited menjadikan Sabah sebuah negeri yang bertanggungjawab, berdaya saing dan diyakini di peringkat nasional mahupun antarabangsa,” tambahnya.