Sabah Menjadi Tumpuan Pelayaran Antarabangsa

berita-sabahJuly 2025news

Kehadiran lebih 100 pelayar dan 29 kapal layar dari 16 negara sempena acara Dalit Bay Nautica membuktikan bahawa Sabah semakin diiktiraf sebagai destinasi pelayaran antarabangsa, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. Menurut beliau, potensi pelancongan nautika di Sabah sangat besar dan berupaya menjadi antara daya tarikan utama pelancong ke negeri ini dalam masa terdekat.

“Sabah menawarkan pelbagai pengalaman pelayaran yang menakjubkan dengan pantai yang bersih, pemandangan yang memukau, serta budaya yang kaya dan pelbagai. Lokasinya yang strategik di perairan Laut China Selatan memberi kelebihan tersendiri,” katanya dalam ucapan yang disampaikan oleh Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Joniston Bangkuai pada 25hb Julai 2025 ketika merasmikan Majlis Dalit Bay Nautica 2025 di Tuaran.

Ketua Menteri berkata, kawasan seperti Pantai Dalit mempunyai semua ciri-ciri yang diperlukan untuk menjadi destinasi pelancongan bertaraf dunia dan perlu dimanfaatkan sepenuhnya.“Pelancongan nautika bukan sahaja boleh menarik kedatangan pelancong, malah mampu merangsang pertumbuhan ekonomi setempat dan membuka peluang kepada masyarakat tempatan,” katanya.Beliau menambah bahawa penganjuran acara seperti Dalit Bay Nautica turut berperanan mempromosikan warisan budaya negeri serta memperkukuh sektor pelancongan Sabah.

“Kita yakin acara ini akan menyumbang kepada usaha memperluas produk pelancongan negeri dan membantu mencapai sasaran 3.5 juta pelancong tahun ini,” katanya.Menurut Hajiji, keunikan Sabah yang merangkumi laut yang jernih, pulau-pulau indah, gunung-ganang serta hutan simpan yang kaya dengan flora dan fauna menjadikannya antara destinasi pelancongan terkemuka dunia.

“Sebagai negeri kedua terbesar di Malaysia, Sabah memiliki segalanya – daripada laut dalam hingga ke puncak Gunung Kinabalu. Ini adalah khazanah alam yang tidak ternilai dan wajar dipelihara serta dipromosikan secara berterusan,” tambah beliau.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Joniston Bangkuai.