RM1.33 Bilion Diperuntuk Perkasa Pendidikan Anak Sabah
Kerajaan Negeri Sabah terus menunjukkan komitmen tinggi terhadap pembangunan pendidikan dengan memperuntukkan sebanyak RM1.33 bilion bagi pelaksanaan pelbagai program dan inisiatif pendidikan sepanjang tahun 2021 hingga 2025. Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata daripada jumlah tersebut, sebanyak RM848.26 juta telah digunakan untuk bantuan pendidikan, manakala RM485 juta lagi diperuntukkan khusus bagi pembangunan modal insan.
“Sebanyak 14 inisiatif baharu bernilai RM164.14 juta telah diperkenalkan dalam tempoh tersebut, yang telah memberi manfaat kepada lebih 210,000 pelajar di seluruh Sabah,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengiktirafan Kecemerlangan Akademik (MEKAR) Ke-13 anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada 29hb Julai 2025.
Menurut Hajiji, pendidikan merupakan tonggak penting pembangunan negeri dan negara, dan kejayaan akademik pelajar bukan hanya pencapaian peribadi, tetapi aset berharga untuk masa depan Sabah.“Kerajaan Negeri komited memastikan tiada anak Sabah tercicir daripada menikmati akses kepada pendidikan berkualiti,” tegas beliau.
Sabah telah melaksanakan beberapa inisiatif untuk memperkukuhkan bidang pendidikan iatu:
- menubuhkan Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Sabah yang berperanan menyelaras lebih 160 institusi latihan teknikal dan vokasional di seluruh negeri.
- insentif tunai RM1,000 kepada 146 pelajar STPM 2024, manakala seorang pelajar Sabah yang berjaya di peringkat kebangsaan menerima ganjaran khas sebanyak RM3,000.
Hajiji juga menekankan pentingnya kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan, khususnya melalui Kementerian Pendidikan, dalam usaha mempertingkatkan mutu serta kemudahan infrastruktur pendidikan di Sabah.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Dr.Haji Mohd. Arifin Datuk Mohd.Arif.