Sabah Berpotensi Jadi Hab Perikanan Laut Dalam Serantau
Sabah berada pada landasan tepat untuk muncul sebagai Hab Perikanan Laut Dalam utama rantau ini hasil kelebihan strategiknya, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. Terletak di laluan migrasi tuna antarabangsa, Sabah turut memiliki pelabuhan semula jadi terlindung dan berdekatan negara pengeluar utama seperti Indonesia, Filipina dan Papua New Guinea. Menurut beliau, pelbagai prasyarat termasuk lokasi, sumber, infrastruktur dan sokongan dasar meletakkan Sabah sebagai pusat pendaratan, pemprosesan dan pengeksportan hasil laut dalam berpiawaian antarabangsa.
Pada 30 Julai 2025, DBKK memeterai MoU dengan Petco Trading Labuan Company Ltd serta MoA dengan Alpha Ocean Resources Berhad (AORB) bagi membangunkan pelabuhan tuna bertaraf EU bernilai RM360 juta di Kota Kinabalu. Projek 18 bulan ini dijangka mewujudkan lebih 1,000 pekerjaan dan mematuhi piawaian EU seperti HACCP, kebolehjejakan, IUU serta keselamatan makanan. Pelabuhan baharu ini bakal menjadi pusat pendaratan sah WCPFC, dengan potensi mendaratkan 50,000 tan tuna setahun bernilai RM1.8 bilion. Manfaat ekonomi dijangka merangkumi sektor sokongan seperti ais, bunkering, F&B dan teknikal, sambil memastikan komuniti nelayan tempatan terlibat melalui model pembangunan inklusif berteraskan prinsip ESG.
Selain itu, DBKK turut menandatangani MoU dengan Petco untuk projek tenaga biogas di tapak pelupusan Kayu Madang, menjana 2MW tenaga hijau untuk sektor pembuatan di KKIP – contoh ekonomi pekeliling di mana sisa menjadi sumber tenaga. Kedua-dua inisiatif ini seiring agenda Ekonomi Biru Sabah yang menekankan pembangunan mampan, nilai tambah perikanan dan peralihan kepada tenaga bersih, sekali gus membuktikan keyakinan pelabur terhadap prospek ekonomi negeri tersebut.