Kerajaan Negeri sokong Inisiatif Tubuhkan Hospis Kanak-Kanak Pertama Sabah

Aug 2025berita-sabahnews

Kerajaan Negeri menyatakan sokongan terhadap usaha Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) bersama Persatuan Penjagaan Paliatif Pediatrik Malaysia (MAPPAC) menubuhkan hospis kanak-kanak pertama di Sabah. Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata penjagaan paliatif untuk kanak-kanak adalah penting bagi memastikan mereka dan keluarga menerima sokongan, maruah dan keselesaan ketika berdepan penyakit serius yang tidak dapat disembuhkan. Ucapan beliau telah disampaikan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Panglima Christina Liew.

Beliau menzahirkan penghargaan kepada inisiatif kempen berbasikal rentas Borneo, Sepeda Amal Borneo 2025, yang bertujuan mengumpul dana dan meningkatkan kesedaran bagi pembinaan hospis ini. Hajiji turut memuji pasukan penjagaan paliatif pediatrik Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah, Likas, yang sejak 2013 menjadi satu-satunya penyedia perkhidmatan tersebut dan menerima lebih 100 rujukan setahun.

Dianggarkan 80,000 kanak-kanak di seluruh negara, termasuk 9,000 di Sabah, memerlukan penjagaan paliatif. Namun aksesnya masih terhad terutama di kawasan pedalaman. Hajiji mengalu-alukan kerjasama MMA, MAPPAC dan Kementerian Kesihatan dalam memperluas perkhidmatan percuma berasaskan rumah ini, sambil menegaskan bahawa inisiatif tersebut akan memperkukuh kesejahteraan komuniti serta mencerminkan nilai penyayang dalam pembangunan Sabah.