Kerajaan Negeri Alu-Alukan Kesatuan Sekerja Sebagai Rakan Strategik
Kerajaan Negeri Sabah mengalu-alukan penglibatan aktif kesatuan sekerja sebagai rakan strategik dalam pembangunan negeri, sejajar dengan usaha mewujudkan ekosistem pekerjaan yang lebih inklusif, adil dan lestari. Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata suara kesatuan sekerja perlu diberi perhatian bukan sahaja dalam isu gaji dan faedah, tetapi turut meliputi penggubalan dasar, perancangan ekonomi, pendidikan, adaptasi teknologi serta pembangunan tenaga kerja masa hadapan.
“Saya percaya Sabah mampu menjadi negeri contoh di Malaysia dalam membangunkan ekosistem pekerjaan yang bukan sahaja menjana ekonomi kukuh, tetapi secara konsisten menegakkan hak-hak pekerja,” katanya ketika merasmikan Perhimpunan Hari Kesatuan Sekerja Peringkat Negeri Sabah pada 4hb Ogos 2025 di Pusat Komersial dan Teknologi Antarabangsa (ITCC), Penampang.
Menurut Hajiji, kerajaan negeri kekal komited dalam memperkasa tenaga kerja dan menyokong gerakan kesatuan sekerja melalui agenda pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya. Antara fokus utama termasuk memperluas kerjasama strategik bersama Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) bagi memastikan perlindungan sosial turut merangkumi sektor informal yang sering terpinggir. “Kita mahu memastikan setiap rakyat Sabah, sama ada di pedalaman mahupun di bandar, diberikan peluang yang adil untuk menyumbang dan menikmati hasil pembangunan negeri,” katanya.
Ketua Menteri menyifatkan perhimpunan tersebut sebagai simbol permulaan kepada satu era baharu gerakan kesatuan sekerja di Sabah yang lebih tersusun dan berpaksikan semangat Sabah Maju Jaya. Sabah mencatatkan lebih 1.7 juta tenaga buruh pada tahun 2024, yang telah menyumbang kepada peningkatan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak RM84.3 bilion, terutamanya dalam sektor utama seperti pertanian, pembuatan, pembinaan, perlombongan dan perkhidmatan.

Sehingga kini, terdapat 92 kesatuan sekerja berdaftar di Sabah di bawah seliaan Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja Sabah:
- 23 kesatuan sektor kerajaan
- 52 kesatuan sektor swasta
- 16 kesatuan badan berkanun
Jumlah keseluruhan ahli mencecah 60,764 orang, dengan majoriti dari sektor swasta (35,194), diikuti sektor kerajaan (22,317) dan badan berkanun (3,253).
Hajiji turut menyeru kepimpinan kesatuan agar lebih proaktif dalam melindungi kebajikan ahli melalui pelbagai inisiatif dan program di peringkat negeri dan persekutuan, terutama dalam menghadapi cabaran era globalisasi dan Revolusi Industri 4.0. “Kesatuan sekerja adalah benteng keadilan sosial – bukan sekadar memperjuangkan gaji yang adil, tetapi juga peluang peningkatan kemahiran, keselamatan dan kesihatan pekerjaan, jaminan sosial dan suasana kerja yang kondusif,” katanya.
Mengakhiri ucapannya, Hajiji menasihati pemimpin kesatuan dari Sabah yang akan menghadiri Perhimpunan Kesatuan Sekerja Peringkat Kebangsaan di Pulau Pinang pada 6 September 2025 agar menggunakan platform tersebut untuk membawa suara dan aspirasi pekerja Sabah ke peringkat nasional. “Saya berharap perhimpunan hari ini menjadi titik tolak kepada satu gerakan kesatuan yang progresif, inklusif dan berdaya tahan demi masa depan pekerja dan negeri Sabah,” tambahnya.