Ketua Menteri, Isteri & Mutiara GRS Ziarah Ibu Allahyarhamah Zara Qairina
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, bersama isteri, Datin Seri Panglima Datuk Hajah Juliah Salag, mengunjungi ibu Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, Puan Noraidah Lamat, di Sri Gaya pada 13 Ogos 2025 bagi menyampaikan ucapan takziah dan simpati. Turut hadir dalam pertemuan itu adalah anggota Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat Sabah (Mutiara GRS).
“Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya amat bersimpati dan mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarhamah. Kami mendoakan agar mereka diberi kekuatan menghadapi dugaan berat ini,” kata Hajiji.
Beliau menambah, menteri bertanggungjawab dalam portfolio pendidikan Sabah, Datuk Dr. Haji Mohd. Arifin Mohd. Arif, dan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kawang, Dato' Sri Ghulamhaidar Khan Bahadar, telah menziarahi Zara lebih awal ketika beliau masih dirawat di hospital, sebagai bukti kerajaan negeri mengambil berat tentang isu ini.
Hajiji juga menekankan, gelombang solidariti #JusticeforZara yang digerakkan netizen adalah baik, namun orang ramai diminta mengelak membuat spekulasi tidak wajar. “Kita serahkan kepada pihak polis dan pihak berwajib lain untuk menjalankan siasatan dan berharap ia dapat diselesaikan secepat mungkin demi mendapatkan keadilan untuk semua pihak,” ujarnya.

Sementara itu, Juliah berkata, beliau memahami perasaan seorang ibu yang kehilangan anak tersayang. “Keselamatan anak-anak, khususnya pelajar asrama, mesti diutamakan agar tragedi seperti ini tidak berulang,” katanya.
Allahyarhamah Zara Qairina, pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, meninggal dunia pada 17 Julai 2025 selepas ditemui tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asramanya.