KM: Kinabatangan Perlu Lembaran Baharu Pembangunan
Kinabatangan memerlukan agenda pembangunan baharu agar rakyat di daerah ini dapat menikmati lebih banyak kemajuan. Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, menegaskan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah merangka pelan pembangunan jelas melalui Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang merangkumi aspek ekonomi, pendidikan dan kesejahteraan rakyat.
Beliau menegaskan, pelbagai kejayaan telah dicapai termasuk dalam bidang perindustrian, pelancongan dan pertanian, selain membangunkan modal insan, menambah hasil negeri daripada minyak dan gas, serta mengembalikannya kepada rakyat melalui bantuan tunai, program Rumah Mesra SMJ, dan penyediaan 100 mesin dialisis di hospital serta klinik kerajaan. Setakat ini, lebih 94% daripada lebih 400 inisiatif SMJ telah dilaksanakan.
Hajiji mengingatkan rakyat Lamag dan Sukau agar membuat pilihan tepat pada Pilihan Raya Negeri ke-17 supaya tidak ketinggalan berbanding daerah lain. Menurutnya, hanya parti kerajaan mampu membawa kesejahteraan, manakala GRS komited untuk terus memimpin selepas PRN akan datang.
Menyentuh projek Bandar Baharu Seri Milian di Kota Kinabatangan, beliau menyifatkannya sebagai pemangkin perubahan besar dalam tempoh lima hingga 10 tahun. Pada majlis itu juga, Hajiji menyerahkan 255 geran deraf PANTAS bagi DUN Lamag, tiga geran PANTAS untuk DUN Sukau, serta geran tanah Majlis Daerah Kinabatangan.