RM600,000 Untuk e-hailing Buka Akaun KWSP

Aug 2025berita-sabahnews

Kerajaan Negeri akan memperuntukkan hampir RM600,000 bagi membantu pekerja gig dalam sektor e-hailing untuk membuka akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, sebanyak 11,109 permohonan telah diterima daripada pekerja e-hailing untuk membuat caruman KWSP. Hajiji berkata demikian pada 17hb Ogos 2025 di Program Sabah Moto Day 8.0 di Padang Kawad Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kota Kinabalu, yang menarik kehadiran 60,000 penunggang motosikal dan peminat permotoran dari seluruh Sabah, Sarawak dan Brunei pada tahun 2025.

“Saya kagum melihat sokongan yang ditunjukkan oleh semua peserta, tanpa mengira usia, bangsa, dan agama, yang berkumpul demi minat yang sama,” kata Hajiji. “Kita harus melihat himpunan ini dari sudut yang positif kerana ia boleh menyumbang, sedikit sebanyak, kepada penjanaan ekonomi Sabah berikutan jumlah peserta dan pengunjung yang ramai sempena program ini.”

Ketua Menteri berkata Kerajaan Negeri melihat belia sebagai aset, justeru pelbagai inisiatif telah dilaksanakan untuk membangunkan modal insan sejumlah RM1.33 bilion, termasuk RM848.26 juta bagi bantuan pendidikan dan RM485 juta khusus untuk program pembangunan bakat serta kemahiran dari tahun 2021 hingga 2025. “Kita komited membangunkan golongan belia yang merupakan pemimpin masa depan kita,” katanya.