Inisiatif Luar Biasa Bantu Pelajar Sabah

Aug 2025berita-sabahnews

Kerajaan Negeri Sabah melaksanakan pelbagai inisiatif luar biasa di bawah agenda pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) bagi membantu pelajar, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

“Belum pernah sebelum ini begitu banyak inisiatif dilaksanakan untuk pembangunan modal insan dan pendidikan di Sabah. Dalam tempoh hampir lima tahun, kita telah membelanjakan RM1.33 bilion untuk tujuan ini,” katanya pada majlis perasmian Dewan SK Bundung, Topokon, Tuaran, pada 21 Ogos 2025. Dewan tersebut dinamakan sempena nama beliau.

Hajiji berkata, peruntukan biasiswa negeri untuk tahun 2025 telah meningkat kepada RM138 juta berbanding kira-kira RM50 juta sebelum ini. “Namun jumlah ini masih belum mencukupi, dan saya telah meminta Setiausaha Kerajaan Negeri menambah peruntukan pada 2026 supaya lebih ramai pelajar cemerlang dapat menikmati bantuan ini,” jelasnya.

Selain itu, Kerajaan Negeri turut menyediakan bantuan tunai RM200 kepada kira-kira 40,000 pelajar yang menduduki peperiksaan SPM dan STPM setiap tahun. “Saya amat memahami cabaran yang dihadapi keluarga kurang berkemampuan. Saya sendiri pernah mengalami kesukaran ketika hendak menduduki peperiksaan LCE pada 1971, apabila ibu saya terpaksa meminjam wang untuk membayar yuran peperiksaan sebanyak RM15,” katanya.

Hajiji menegaskan bahawa pembangunan modal insan dan pendidikan akan terus menjadi keutamaan Kerajaan Negeri. “Kita telah mencapai kemajuan dalam sektor pertanian, pelancongan dan perindustrian. Namun perjuangan tidak lengkap jika kita gagal membangunkan sektor pendidikan,” katanya.

Dalam ucapannya, beliau turut menggesa para guru membantu menyampaikan maklumat tepat mengenai dasar dan program pembangunan kerajaan, serta tidak terpengaruh dengan fitnah pembangkang. Beliau menambah, rekod pencapaian kerajaan membawa masuk pelaburan berimpak tinggi sudah terbukti dengan kehadiran pelabur luar. “Kalau betul kita buat salah, kenapa begitu ramai pelabur datang ke Sabah? Terbaharu, sebuah syarikat dari Singapura akan melabur RM31 bilion dalam tiga fasa di Sipitang,” katanya.

Majlis itu turut diserikan dengan pemotongan kek perpisahan meraikan persaraan Guru Besar SK Bundung, Grace Subramaniam.