Kerajaan Negeri Teguh Sokong Pembangunan Syiar Islam
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menegaskan bahawa Kerajaan Negeri tidak akan berkompromi dalam soal akidah, pembangunan, dan kesejahteraan ummah. Beliau berkata Kerajaan Negeri sentiasa menyokong pembangunan syiar Islam melalui usaha Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), serta beberapa NGO seperti Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).
Beliau menyatakan perkara ini ketika merasmikan Konvensyen Du’at pada 26hb Ogos 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, Kota Kinabalu. Selaras dengan dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya, agensi seperti MUIS dan Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah telah bekerjasama dengan Yayasan Sabah dan Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri menyediakan peluang biasiswa kepada pelajar Sabah yang ingin melanjutkan pengajian di dalam dan luar negara.
Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan dana besar untuk menaik taraf infrastruktur masjid dan surau di seluruh Sabah, serta melaksanakan latihan dan pembangunan modal insan bagi para du’at. “Insya-Allah, di bawah Rancangan Malaysia Ke-13, kita akan terus memperjuangkan agenda memperkasakan dakwah dan pembangunan Islam selaras dengan kehendak semasa, termasuk transformasi dakwah digital, penempatan pendakwah bersepadu di kawasan pedalaman dan pulau, serta program khas belia MADANI bagi melahirkan pendakwah muda berwibawa,” katanya.

Dalam majlis itu, Ketua Menteri juga menyampaikan watikah pelantikan Imam-Imam Daerah yang dipilih daripada kalangan Imam Kariah. Sebagai insentif tambahan, Kerajaan Negeri melalui MUIS akan menambah elaun Imam Daerah sebanyak RM1,000 sebulan bagi 33 imam terpilih.
Selain itu, elaun bulanan Guru KAFA dan Imam Rawatib masing-masing akan dinaikkan sebanyak RM200, membabitkan peruntukan hampir RM15 juta setahun untuk manfaat 2,480 Guru KAFA dan 1,643 Imam Rawatib. Seramai 394 Guru Takmir pula akan menerima elaun khas sekali bayar sebanyak RM500 setiap seorang.

“Apabila ekonomi Sabah terus berkembang pesat dan kedudukan kewangan negeri semakin kukuh, insya-Allah, elaun anda semua akan terus dapat ditambah dari semasa ke semasa,” tambah beliau.