GRS Yakin Terima Mandat Baharu Rakyat

Aug 2025berita-sabahnews

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yakin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan diberikan mandat baharu oleh rakyat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17, berikutan sentimen kuat yang mahu parti tempatan menerajui kerajaan negeri.

Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata, kerajaan negeri ketika ini terdiri daripada lapan parti tempatan iaitu Parti Solidariti Tanahairku (Star), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Gagasan Rakyat, Sabah Progressive Party (SAPP), Parti Harapan Sabah, United Sabah National Organisation (Usno), Liberal Democratic Party (LDP) dan Parti Cinta Sabah (PCS).

“Lapan parti tempatan ini adalah harapan kita dalam PRN akan datang. Kita tidak boleh sia-siakan peluang keemasan ini kerana sentimen rakyat sangat kuat untuk parti tempatan memimpin politik Sabah,” katanya pada Program Jerayawara Yayasan Sabah Bersama Rakyat (YSBR) di pada 28 Ogos 2025 di Dataran Pisompuruan, Tambunan.

Beliau menyeru rakyat untuk bersatu memastikan kemenangan cemerlang GRS dalam PRN. “Pemimpin GRS di Tambunan mesti menang, dan kita ada pemimpin yang baik di sini, iaitu Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan,” katanya.

Menurutnya, sepanjang lima tahun lalu, Kerajaan Negeri GRS telah membuktikan rekod pencapaian dalam membawa pembangunan berasaskan tiga teras utama iaitu pertanian, perindustrian dan pelancongan.

Dalam sektor pertanian, kerajaan menghidupkan semula Lembaga Padi dan Beras Sabah dengan sasaran meningkatkan tahap sara diri makanan (SSL) kepada 60% menjelang 2030. Manakala dalam sektor perindustrian, dasar mesra pelabur berjaya menarik pelaburan berimpak tinggi termasuk dari Singapura bernilai RM31 bilion melalui tiga fasa, sekali gus mewujudkan ribuan peluang pekerjaan.

Di samping itu, Kerajaan Negeri juga menyalurkan pelbagai inisiatif kebajikan termasuk bantuan bulanan RM300 kepada kira-kira 100,000 golongan miskin dan miskin tegar di Sabah, membelanjakan RM1.4 bilion untuk kebajikan 70,000 penerima serta RM1.33 bilion bagi pembangunan modal insan dalam bidang pendidikan.

Dalam ucapannya, Hajiji turut menyelar Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal. “Saya ingin bertanya kepada Shafie, apa yang beliau lakukan sepanjang dua setengah tahun menjadi Ketua Menteri dan juga hampir tujuh tahun sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar?” katanya. Oleh itu, beliau menegaskan, rakyat tidak boleh membuat pilihan yang salah dalam PRN akan datang.