Kebajikan Wanita Sentiasa Diberi Perhatian

berita-sabahnewsSept 2025

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menegaskan bahawa kebajikan dan keperluan wanita tidak pernah diabaikan kerana mereka turut memainkan peranan penting dalam pembangunan negeri. “Kita menghargai peranan wanita dan kita tidak melupakan kebajikan mereka,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian bantuan dapur kepada 1,000 suri rumah pada 1 September 2025 di Sulaman, Tuaran.

Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N12 Sulaman berkata kesejahteraan rakyat, termasuk aspek kebajikan, menjadi antara keutamaan dalam pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ). Beliau yakin dengan sokongan wanita khususnya di Sulaman, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan memperoleh kemenangan dalam pilihan raya negeri akan datang.

Dalam ucapannya, beliau turut menolak dakwaan pembangkang yang melabel GRS sebagai kerajaan yang gagal. Menurutnya, ketika mengambil alih pentadbiran, Sabah berdepan situasi sukar akibat pandemik COVID-19 dan ketidaktentuan politik negara. “Namun, dalam keadaan mencabar itu, kami berjaya merangka pelan pembangunan Hala Tuju SMJ bagi memulihkan ekonomi negeri,” katanya. Selepas lebih empat tahun, pelan tersebut telah membuahkan hasil dengan pemulihan ekonomi Sabah.

Sejak itu, Kerajaan Negeri memperkenalkan pelbagai inisiatif termasuk bantuan bulanan RM300 di bawah program SYUKUR kepada 100,000 rakyat miskin dan miskin tegar tersenarai dalam e-Kasih selama setahun. Selain itu, sebanyak RM1.4 bilion telah dibelanjakan untuk kebajikan 70,000 penerima, manakala RM1.33 bilion diperuntukkan bagi pembangunan modal insan dalam bidang pendidikan.

Kerajaan Negeri juga melaksanakan program Rumah Mesra SMJ yang menyediakan rumah percuma kepada rakyat yang memerlukan. “Berpeluang membantu rakyat merupakan satu kepuasan besar bagi kerajaan GRS. Dengan sokongan rakyat, saya yakin dapat mempertahankan kerusi Sulaman dalam pilihan raya negeri akan datang,” katanya.