Integriti, Kecekapan Pentadbiran Daerah Penentu Kejayaan SMJ

berita-sabahnewsSept 2025
Hajiji melakukan gimik perasmian di Persidangan Pegawai-Pegawai Daerah Negeri Sabah ke-28; Hajiji bersalaman dengan pegawai daerah; Hajiji bergambar bersama pegawai-pegawai daerah dan tetamu jemputan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menekankan bahawa integriti, profesionalisme dan kecekapan pentadbiran daerah adalah faktor utama bagi memastikan dasar kerajaan negeri benar-benar memberi manfaat kepada rakyat serta menyokong pelaksanaan agenda pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ). Beliau menegaskan, pegawai daerah dan penolong pegawai daerah merupakan pemimpin di peringkat akar umbi yang berfungsi sebagai penghubung penting antara kerajaan dengan rakyat, justeru mereka perlu proaktif, telus dan dekat dengan masyarakat agar setiap projek pembangunan dapat dilaksanakan secara berkesan.

“Saya mahu pegawai daerah bukan hanya menjaga amanah, tetapi memastikan setiap projek pembangunan sampai kepada rakyat dengan penuh integriti dan ketelusan. Permudahkan urusan masyarakat serta hentikan kerenah birokrasi yang boleh melambatkan pembangunan,” katanya ketika merasmikan Persidangan Pegawai-Pegawai Daerah Negeri Sabah ke-28 pada 11 September 2025 di Kota Kinabalu. Hajiji turut menegaskan bahawa pentadbiran daerah kini berdepan cabaran baharu berikutan tuntutan rakyat yang semakin tinggi serta perubahan sosioekonomi global yang dipacu teknologi. Menurutnya, pegawai daerah perlu mendengar suara rakyat dan memastikan dasar kerajaan memberi impak nyata kepada kehidupan mereka. Kerajaan negeri, katanya, tetap komited untuk memastikan pembangunan seimbang antara bandar dan luar bandar.

Menyentuh pencapaian, Hajiji berkata Sabah kini berada di landasan kukuh menerusi pelaksanaan Pelan Pembangunan SMJ 1.0, termasuk usaha mengurangkan kadar kemiskinan luar bandar. Antara inisiatif utama ialah projek Rumah Mesra SMJ, dengan 7,482 unit diluluskan sejak 2022 dan 4,540 unit telah siap dibina setakat Ogos 2025. Selain itu, elaun Pengerusi JKKK ditingkatkan daripada RM500 kepada RM800, manakala Setiausaha JKKK daripada RM300 kepada RM400, sebagai penghargaan terhadap peranan mereka mengurus pembangunan di peringkat kampung. Tambahnya lagi, tiga daerah kecil iaitu Paitan, Membakut dan Sook telah dinaik taraf menjadi daerah penuh, sementara beberapa lagi daerah kecil berpotensi mendapat status sama sekiranya menepati syarat.

Mengulas dakwaan pembangkang kononnya kerajaan gagal membawa pembangunan, beliau menegaskan tuduhan itu tidak berasas dan hanya bertujuan menafikan pencapaian kerajaan. “Saya mahu pegawai daerah dan penolong pegawai daerah menjelaskan inisiatif kerajaan kepada rakyat agar mereka tidak mudah terpengaruh dengan dakyah politik,” katanya. Hajiji turut mengingatkan pegawai daerah supaya bersiap sedia menghadapi cuaca yang tidak menentu, termasuk memastikan kelengkapan penyelamatan sentiasa berada dalam keadaan baik. Beliau berharap persidangan kali ini dapat menghasilkan resolusi yang praktikal, selaras dengan tema “Daerah Maju, Rakyat Sejahtera”, demi merealisasikan aspirasi Sabah Maju Jaya.