Ketua Menteri Tinjau Lokasi Tanah Runtuh, Arah Tindakan Segera

berita-sabahnewsSept 2025
Hajiji diberi taklimat dan meninjau kerja-kerja pembaikan jalan yang terjejas akibat tanah runtuh di Kampung Pogunon, Penampang.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mengarahkan kerja-kerja pembaikan jalan yang terjejas akibat tanah runtuh di laluan Penampang–Tambunan dipercepatkan bagi menjamin keselamatan pengguna serta kelancaran perhubungan ke kawasan pedalaman. “Kerajaan Negeri memberi keutamaan kepada keselamatan rakyat. Kita mahu kerja-kerja pembaikan ini disiapkan segera supaya penduduk tidak terus terjejas,” katanya selepas meninjau lokasi kejadian di Kampung Pogunon pada 13hb September 2025.

Sejurus tiba dari Kuching selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal MA63 bersama Perdana Menteri dan Premier Sarawak, Hajiji terus ke lokasi tanah runtuh bersama Timbalan Ketua Menteri III/Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Shahelmey Yahya; Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi merangkap Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick; ADUN Kepayan, Datuk Jannie Lasimbang; serta Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Moyog, Datuk Ceasar Mandela Malakun bagi mendapatkan gambaran jelas berhubung kerja-kerja pembaikan.

Hajiji mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, syarikat konsesi serta agensi berkaitan menambah jentera dan bekerja 24 jam supaya laluan dua hala dapat dibuka semula dalam tempoh terdekat. “Sekarang hanya satu hala boleh digunakan. Kita harap rakyat bersabar sedikit kerana Kerajaan mengambil tindakan sebaiknya. Kita diberi jaminan dalam satu atau dua hari ini laluan dua hala boleh digunakan semula,” jelasnya.

Selain masalah jalan, beliau berkata, talian elektrik yang terputus akibat runtuhan juga perlu segera dipulihkan. “Saya sendiri akan berhubung dengan CEO Sabah Electricity Sdn Bhd untuk memastikan tindakan segera diambil,” katanya.

Beliau turut mengarahkan Jabatan Air Sabah dan JETAMA memastikan bekalan air bersih kembali normal di kawasan terjejas. Semua usaha bantuan itu, katanya, akan diselaraskan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri bersama agensi berkaitan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Siasatan awal mendapati tanah runtuh berkenaan dicetuskan oleh hujan lebat berterusan selama tiga hari berturut-turut. Menurut laporan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui laman Public InfoBanjir, taburan hujan tertinggi direkodkan sebanyak 23.4 milimeter dalam tempoh 15 minit dan 82.5 milimeter dalam tempoh sehari pada 11 September lalu.

Dalam kejadian itu, sebuah rumah tertimbus menyebabkan satu kematian. “Saya menyampaikan simpati dan rasa sedih bagi pihak Kerajaan kepada keluarga mangsa. Bantuan ihsan khairat serta sokongan untuk membina semula kediaman akan segera disalurkan,” katanya. Menurut JKR Sabah, beberapa lokasi di Jalan R500 Kota Kinabalu–Keningau–Tenom masih terjejas akibat banjir dan tanah runtuh, namun kebanyakan laluan sudah boleh dilalui dengan kawalan satu lorong sementara kerja pembersihan giat dijalankan.

Berdasarkan laporan Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri, seramai 437 mangsa daripada 128 keluarga masih ditempatkan di lima pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga daerah – Beaufort, Penampang dan Tawau.

  • Beaufort: 154 mangsa (53 keluarga) di PPS Selagon.
  • Penampang: 224 mangsa (64 keluarga) di tiga PPS – Kompleks Sukan Penampang (39 orang), SK St Paul Kolopis (43 orang) dan Dewan Huguan Siou (142 orang).
  • Tawau: 59 mangsa (11 keluarga) di PPS Masjid Al-Aman selepas bencana kebakaran.

Secara keseluruhan, 23 kampung terjejas dengan catatan satu kematian akibat bencana tersebut.