Ketua Menteri Hajiji Turun Padang Lawat Mangsa Bencana, Serah Bantuan di Penampang dan Putatan

berita-sabahnewsSept 2025

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor turun padang meninjau mangsa banjir dan tanah runtuh yang ditempatkan di beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Penampang dan Putatan pada 15 September 2025. Lawatan beliau bermula di PPS Kampung Sarapung sebelum meneruskan tinjauan ke Putatan. Walaupun hujan lebat, Hajiji tetap hadir bagi melihat sendiri keadaan mangsa sebagai tanda keprihatinan, selain menyampaikan bantuan kerajaan berupa wang tunai dan bakul makanan. Menurutnya, kerajaan negeri sentiasa bersedia memberi bantuan segera kepada rakyat yang terkesan, terutamanya ketika musim hujan berpanjangan.

“Kerajaan tidak akan mengabaikan kebajikan rakyat. Semua mangsa bencana akan dibantu agar tidak berasa terpinggir,” jelasnya. Beliau menegaskan bahawa bantuan akan disalurkan melalui kerajaan negeri dan persekutuan, selain sokongan Yayasan Kebajikan Negeri.

Hajiji turut menyifatkan bencana kali ini agak serius kerana bukan sahaja melibatkan banjir dan tanah runtuh, tetapi juga gangguan bekalan elektrik dan air. Justeru, sambutan Hari Malaysia pada 16 September dibatalkan bagi memberi tumpuan kepada mangsa yang terkesan.

Di Putatan, beliau melawat PPS Dewan Seri Keramat di Ketiau untuk menyampaikan bantuan kepada 40 ketua isi rumah (KIR) mangsa banjir, sebelum ke Dewan PPR Seri Serigai yang menempatkan 56 KIR. Hajiji turut merakam penghargaan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) atas peruntukan RM10 juta yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai tambahan kepada RM11 juta bantuan bencana daripada kerajaan negeri.

Selain itu, beliau meninjau lokasi tanah runtuh di Jalan Tun Fuad Stephens berhadapan Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di Tanjung Lipat, Kota Kinabalu.

Kerajaan Negeri melalui JPBN sedang meninjau dan kerja menyelamat sedang dipergiatkan untuk mangsa mangsa tanah runtuh yang terperangkap akibat tanah runtuh tersebut. Terdapat juga lokasi-lokasi tanah runtuh di laluan-laluan utama jalanraya yang memerlukan penelitian terperinci dan tindakan oleh Jabatan Kerja Raya dan seterusnyan pemantauan yang berterusan.